11 Pasukan Liga Super 2018 Lulus Lesen Kelab, Hanya Kelantan Yang Gagal

0
6832

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan di halaman rasmi mereka telah mengumunkan sebanyak 11 daripada 12 pasukan yang beraksi pada Liga Super 2018 telah lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2019, jika layak.

Hanya Kelantan FA sahaja yang ditolak permohonan mendapatkan lesen kebangsaan dan AFC kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Keputusan ini dibuat pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM yang telah dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 10 Oktober 2018.

Kedah FA, Selangor FA, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FA, Perak FA, Terengganu FA, Melaka United SA dan PKNS FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan manakala Kuala Lumpur FA, Pahang FA dan PKNP FC juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan sanksi.

Daripada 11 pasukan di atas, 8 daripadanya iaitu Kedah FA, Selangor FA, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FA, Perak FA, Terengganu FA, Melaka United SA dan PKNS FC turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2019, jika layak.

Sementara itu, dua pasukan yang lain iaitu PKNP FC dan Kuala Lumpur FA telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen AFC kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan. Pahang FA pula tidak layak dalam permohonan Lesen AFC disebabkan mereka dikenakan sanksi yang tidak membenarkan mereka memohon untuk Lesen AFC selama dua tahun.

Untuk makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.

Lesen Kebangsaan & AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2019 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here