4 pasukan jadi pilihan ungguli saingan Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Empat pasukan teratas Liga Super – Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA), Penang FC dan Terengganu FC (TFC) – dijangka menjadi antara pasukan yang akan mengungguli empat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menjelaskan jangkaan itu berdasarkan prestasi semasa pasukan terbabit sepanjang liga musim ini.

Beliau menganggap JDT pasukan yang berdepan tugas paling mudah untuk muncul juara Kumpulan D selepas hanya diundi bersama PJ City FC, Sabah FC dan pasukan tangga keempat Liga Perdana.

“Jika lihat di atas kertas dan berdasarkan prestasi semasa, JDT akan menjuarai Kumpulan D. Kita kena akur bahawa JDT berada pada satu kelas yang melebihi pasukan lain.

“Kedah pula berada dalam keadaan yang sangat bagus selepas muncul naib juara Liga Super dan mendapat tiket ke Piala AFC. Mereka pasukan yang sudah ‘masak’ dengan Piala Malaysia yang mana setiap tahun akan layak sekurang-kurangnya ke suku akhir, separuh akhir atau final dan saya rasa mereka akan ungguli Kumpulan C.
“Kumpulan B sangat sengit kerana TFC, Selangor FC ada peluang dan Perak FC pun kita tak boleh ketepikan sebab pada perlawanan terakhir liga mereka menang. TFC dan Selangor jadi pasukan pilihan, tapi saya beranggapan TFC akan juara kumpulan.

“Penang pasukan yang sangat tidak dijangka yang mana mereka baru naik ke Liga Super dan memberi impak dalam pertandingan itu. Mereka akan ungguli Kumpulan A ini bersama Sri Pahang FC,” katanya kepada BH Sukan.

Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia akan bermula pada 25 September hingga 10 November dan disusuli aksi suku akhir pada 14 dan 18 November, sementara pusingan separuh akhir (22 dan 26 November) dan final pada 30 November.

Selain itu, Wan Jamak yang pernah menjuarai Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan pada 2009 mengakui kemungkinan akan berlaku kejutan daripada pasukan bawahan termasuk wakil dari Liga Perdana.

“Kalau tengok atas kertas dan prestasi semasa, pasukan yang saya sebutkan itu akan ungguli setiap kumpulan. Tapi dalam analisis, kadang-kadang apa yang kita tengok atas kertas berbeza dengan keputusan di atas padang.

“Sejarah juga sudah membuktikan bahawa dalam Piala Malaysia ini, pasukan kerdil pun boleh menjadi juara. Itu menunjukkan ada sejarah menyatakan pasukan bawahan tak boleh dipandang mudah,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*