40,000 Tiket Malaysia vs Thailand Habis Dijual

0
141

 

Tiket bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2018 di antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini, dijual bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila kesemua 40,000 tiket secara dalam talian habis dijual.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan di akaun Facebooknya berkata, penjualan tiket hari kedua yang bermula pagi tadi, telah ditutup apabila penjualan secara online di www.tickethotline.com.my, telah mencecah 20,000 keping.

Pada hari pertama penjualan tiket semalam, sebanyak 20,000 telah habis dijual.

FAM berkata, baki 40,000 keping tiket akan dijual secara fizikal bermula Khamis ini (29 Nov), iaitu sebanyak 30,000 akan dijual di kaunter tiket Stadium Nasional dan 10,000 di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports, sehingga ia habis dijual.

“Waktu sebenar penjualan tiket secara fizikal di Stadium Nasional dan outlet terpilih Al-Ikhsan Sports akan dimaklumkan kemudian kerana ia bergantung jika tiada kelewatan untuk tiket-tiket berkenaan tiba dari Bangkok, Thailand yang dijangka pada malam esok.

“FAM tidak dapat menjual terus kesemua 80,000 keping tiket menerusi sistem online kerana untuk memberi peluang juga kepada penyokong yang tidak dapat membuat pembelian secara online supaya mereka boleh membeli tiket secara fizikal di kaunter tiket di Stadium Nasional dan juga di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports,” menurut kenyataan itu.

FAM juga menjelaskan bahawa tiada kaunter khas dibuka di Wisma FAM, Kelana Jaya kerana faktor jangkaan kesesakan di kawasan berkenaan yang terletak berdekatan kawasan perumahan.

Separuh akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Thailand akan berlangsung di Stadium Nasional pada Sabtu ini, manakala aksi timbal balik dijadualkan di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Dis.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Filipina akan mencabar Vietnam di Bacolod (Filipina), Ahad ini sebelum aksi timbal balik di Hanoi pada 6 Disember. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here