5 Pemain Real Madrid Yang Paling Mengecewakan Lopetegui

0
4177

 

Real Madrid terpaksa menelan pahit kekalahan dalam pertembungan El Clasico menentang seteru utama, Barcelona apabila dimalukan 1-5 di Camp Nou.

Barcelona menang menerusi hatrik Luis Suarez serta masing-masing satu gol dari Phillipe Coutinho dan Arturo Vidal, manakala satu gol sagu hati Real dijaringkan oleh Marcelo.

Kekalahan tersebut merupakan kekalahan keempat berturut-turut Real dalam saingan di La Liga dan kelima dari enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Real hanya mampu menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan terakhir mereka, tiga diantaranya dijaringkan oleh Marcelo yang merupakan pertahanan kiri.

Individu yang dipertanggungjawabkan diatas kemerosotan prestasi yang dialami Real ketika ini adalah Julen Lopetegui. Namun, barisan pemain Real juga harus mengambil tanggungjawab diatas krisis prestasi yang berlaku ini.

Berikut merupakan lima pemain Real yang paling mengecewakan Julen Lopetegui yang disenaraikan oleh Squawka.

Thibaut Courtois

Pemain dari Belgium ini menyertai Real dengan reputasi besar untuk menjadi penjaga gol utama Los Blancos. Meskipun begitu, kemampuan Keylor Navas juga tidak boleh diperkecil-kecilkan. Jadi Lopetegui telah membahagikan tugas mereka untuk aksi La Liga (Courtois) dan Liga Juara-Juara (Navas).

Real mengharapkan Courtois mampu memberikan impak yang besar kepada pasukan itu. Namun, prestasinya ketika ini agak teruk jika dibandingkan dengan penampilan terbaiknya di Piala Dunia dan ketika musim terakhirnya di Chelsea.

Disebabkan itu Real agak mudah dibolosi ketika giliran Courtois yang beraksi. Courtois jelas memberikan masalah untuk Lopetegui kerana pemain itu gagal mempersembahkan aksi terbaik.

Raphael Varane

Raphael Varane mampu bersinar di Piala Dunia dan dia merupakan pemain terbaik untuk Perancis sehingga bergelar juara. Menurut France Football, Varane mempunyai peluang untuk memenangi Ballon d’Or berdasarkan persembahannya pada 2017/18.

Namun, prestasi cemerlang Varane sama sekali tidak kelihatan ketika beraksi bersama Real Madrid sepanjang musim 2018/19. Pemain berusia 25 tahun itu mudah diperkotak-katikkan oleh Diego Costa dalam Piala Super Eropah dan sejak itu penampilannya tidak pernah bertambah baik.

Mungkinkah dia masih dibuai dengan kejayaan Piala Dunia dan kejayaan yang lain, yang pasti ketika ini dia bermain sangat teruk. Itu adalah masalah besar untuk Lopetegui kerana Varane diharapkan menjadi benteng kebal di pertahanan Real.

Akibatnya, pertahanan Madrid sangat rapuh dan mereka telah bolos sebanyak 14 gol dalam 10 perlawanan. Kelemahan Varane dapat dilihat dalam aksi El Clasico melawan Barcelona, di mana dia menyebabkan penalti dan bermain sangat buruk pada babak pertama sehingga terpaksa dikeluarkan.

Segio Ramos

Ramos merupakan penyokong kuat Julen Lopetegui ketika di skuad kebangsaan Sepanyol. Dialah individu yang paling lantang dan bertegas ingin Lopetegui kekal melatih Sepanyol di Piala Dunia, dan dia juga yang paling gembira dengan kehadiran Lopetegui di Bernabeu.

Namun, Ramos membuat kesilapan demi kesilapan sehingga pertahanan Real sangat rapuh. Ramos berlari ke depan setiap masa, dia mengambil set-piece dan sepertinya dia ingin menjadi pemain utama utama Los Blancos setelah kepergian Cristiano Ronaldo.

Ramos dilihat ingin menjadi seorang pertahanan tengah yang memiliki peranan sebagai watak utama di atas padang tapi semua itu nampaknya tidak berhasil dan penampilannya dalam perlawanan El Clasico sangat teruk.

Ramos penyokong kuat Julen Lopetegui tetapi kata-katanya tidak diterjemahkan oleh prestasinya di atas padang.

Luka Modric

Setelah terpilih sebagai pemain terbaik Piala Dunia dan pemain terbaik FIFA, Luka Modric seperti ‘menghilang’ di musim baharu. Sedangkan dia tampil cemerlang ketika membawa Croatia ke pentas final Piala Dunia.

Modric sangat mengecewakan dan sebahagian besar penampilannya cukup teruk. Modric tiba-tiba perlahan, letih, tidak dapat bertahan dan bahkan sentuhan ajaibnya juga tidak kelihatan.

Julen Lopetegui mengharapkan Modric menjadi nadi utama Real dengan penguasaan bola di tengah menerusi permainan yang proaktif, tapi semua itu masih belum terjadi

Gareth Bale

Ketika Cristiano Ronaldo meninggalkan Real Madrid di musim panas lalu dan Los Blancos tidak mencari panggantinya, sudah jelas Real menginginkan Gareth Bale untuk mengantikan posisi Ronaldo.

Namun, Bale biasa-biasa saja di bawah Lopetegui apabila gagal mengambil peranan sebagai perancang dan peledak utama untuk pasukan walaupun dia sebenarnya mempunyai kemampuan untuk melakukannya.

Kegagalan Real mendapatkan pemain bintang baharu pada musim panas lalu menyebabkan mereka sukar untuk menjaringkan gol (hanya mencetak 14 gol dalam 10 perlawanan liga).

Bale jelas telah mengecewakan Lopetegui kerana tidak mampu menjadi penyambung legasi Ronaldo di Bernabeu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here