5 Sebab Harimau Malaya Mampu ‘Menerkam’ Naga Emas

0
334

Dalam bola sepak tiada apa yang mustahil terutamanya bila melibatkan aksi final kerana pasukan yang mara ke pentas final merupakan pasukan yang terbaik.

Disini kami senaraikan 5 sebab Harimau Malaya mampu menewaskan pasukan Vietnam dalam final kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini (esok).

Kehadiran semula tonggak berpengalaman, Aidil Zaquan Abd Radzak di bahagian pertahanan:

Ketiadaan Aidil di bahagian pertahanan pada aksi pertama di Bukit Jalil seperti hilangnya ‘aura’ seorang ketua di kubu pertahanan.

Biarpun tempat Aidil diambil alih oleh Irfan Zakaria, tonggak pertahanan tengah itu jelas gugup apabila mudah diatasi penyerang lawan yang begitu pantas ketika melakukan serangan balas.

Kembalinya Syazwan Andik dan Syahmi Safari di bahagian pertahanan kiri dan kanan:

Sepanjang aksi peringkat Kumpulan A dan separuh akhir berdepan Thailand, gerakan skuad negara banyak bertumpu dari sebelah kanan dan kiri yang dimulakan Syazwan dan Syahmi.

Namun pada aksi final pertama, ketiadaan kedua-dua pemain ini jelas menjejaskan permainan pasukan terutamanya ketika mahu memulakan serangan. Kembalinya dua pemain ini dijangka dapat membantu Mohamadou Sumareh dan Safawi Rashid membina serangan dari sebelah tepi.

Situasi bola mati kelebihan Harimau Malaya:

Vietnam pasukan yang cukup kebal dan sukar ditembusi menerusi gerakan serangan. Namun mereka lemah dalam situasi bola mati dan ianya terbukti apabila dua gol yang dijaringkan oleh pasukan Malaysia dalam final pertama adalah berpunca daripada situasi bola mati.

Ketika aksi separuh akhir menentang Filipina juga menyaksikan skuad Naga Emas gagal menghalang gol menerusi situasi sama.

Jadi, pemain negara perlu memanfaatkan sebaik-baiknya setiap situasi bola mati seperti sepakan sudut dan sepakan percuma untuk memburu gol.

Gandingan mantap Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha:

Gandingan pemain Pahang – Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha – sekali lagi ditagih untuk mengucar kacirkan benteng pertahanan tuan rumah.

Kedua-duanya memiliki kualiti serta teknik individu mengelecek yang baik dan itu pasti memberi kesukaran kepada pertahanan Vietnam untuk menghalang gerakan penyerang Harimau Malaya itu.

Aura penyokong Harimau Malaya:

Dijangka kehadiran 3,000 penyokong Harimau Malaya di tengah-tengah ribuan penyokong Vietnam di Hanoi akan menaikkan semangat pemain negara yang sememangnya mengharapkan sokongan padu terutama daripada Ultras Malaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here