Aidil: Vietnam Lawan Sebenar Harimau Malaya

0
302
Foto: FAM

 

Pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak menggesa rakan sepasukannya agar mengembalikan fokus kepada perjuangan di atas padang dan tidak dibuai kejayaan menewaskan Laos.

Skuad Harimau Malaya meraih kemenangan kedua dalam kempen Piala AFF selepas menundukkan Laos 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin lalu.

Skuad negara berada di landasan tepat untuk melepasi saingan peringkat Kumpulan A setelah mengutip enam mata penuh dalam dua perlawanan.

Bagimanapun, Aidil yang merupakan tonggak pertahanan mengakui perjalanan pasukannya masih berliku kerana akan berdepan pasukan pilihan, Vietnam, di tempat lawan Jumaat ini selain pertemuan dengan Myanmar nanti.

“Kami perlu fokus untuk berdepan Vietnam.

“Mereka memiliki kepantasan dan kemampuan mereka tidak sama seperti dua lawan kami yang terdahulu, iaitu Kemboja dan Laos.

“Kami perlu gandakan usaha,” katanya.

Setakat dua perlawanan, Aidil yang juga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperagakan aksi ampuh bersama gandingannya, Shahrul Saad di benteng skuad negara.

Namun, mereka dijangka akan berdepan ujian sebenar ketika menentang Vietnam yang memiliki jentera serangan yang jauh lebih baik berbanding Laos dan Kemboja.

“Daripada segi mutu persembahan sebelum ini, kami kurang bernasib baik ketika berdepan Vietnam.

“Namun, saya dan rakan-rakan menganggap ia sesuatu yang positif bagi melonjakkan semangat kami mencari kemenangan,” tambahnya merujuk kepada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan yang menyaksikan skuad negara tumbang 0-1 dalam kancah yang sama dua tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here