Akhirnya Cheng Hoe Panggil Sumareh Untuk Perkasakan Harimau Malaya

0
2242

 

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe akhirnya membuat keputusan memanggil Mohamadou Sumareh untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bermula Isnin ini.

Pemain sayap Pahang itu antara enam muka baharu yang dipanggil untuk memperkasakan skuad kebangsaan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan kelas ‘A’ bermula dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober ini.

Harimau Malaya kemudiannya akan melayang kunjungan Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober 2018.

Selain Sumareh, lima muka baharu lain yang dipanggil ialah Matthew Davies (Pahang); penjaga gol, Haziq Nadzli dan Syamer Kutty Abba (Johor Darul Ta’zim) serta Kenny Pallraj dan Nor Hakim Hassan (Perak).

Cheng Hoe mengekalkan 16 pemain daripada 22 pemain bagi dua aksi persahabatan sebelum ini yang menyaksikan Harimau Malaya tewas 2-0 di tangan Taiwan pada 7 September, sebelum bangkit membenam Kemboja 2-1 (10 September).

Bagi panggilan ini, enam pemain digugurkan iaitu penjaga gol Farizal Marlias (JDT), Nazmi Faiz Mansor (JDT), Nasir Basharudin (Perak), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Syawal Nordin (Kedah) dan R Kogileswaran (Pahang).

Bagi melengkapkan senarai 24 pemain, dua pemain yang tersenarai pada panggilan September lalu tetapi tidak menyertai pasukan sebelum ini iaitu Adam Nor Azlin (JDT) dan Norshahrul Idlan Talaha (Pahang) sekali lagi disenaraikan Cheng Hoe.

Skuad Harimau Malaya akan menjalani dua hari latihan di Melaka pada 8 dan 9 Oktober sebelum berlepas ke Colombo pada 10 Oktober.

Dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Sri Lanka dan Republik Kyrgyz ini adalah antara persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember 2018.

Dalam saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Seterusnya, satu lagi aksi persahabatan bakal menyusul menjelang sepak mula iaitu bertemu Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here