Akhirnya Sumareh Dapat Menyertai Latihan Skuad Kebangsaan Setelah Mendapat ‘Lampu Hijau’ Dari PBNP

0
1242

 

Pemain sayap negara, Mohamadou Sumareh boleh menarik lafas lega apabila dia kini boleh menyertai latihan skuad kebangsaan hari ini setelah mendapat ‘lampu hijau’ daripada majikannya Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pemain kelahiran Gambia itu yang mengatakan dia kini dalam perjalanan ke Melaka yang menjadi pengkalan latihan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe.

“Saya akan ke Melaka hari ini dan menyertai (latihan pasukan kebangsaan). Saya boleh beraksi dan akan terbang (ke Colombo) bersama pasukan kebangsaan esok,” kata Sumareh kepada Berita Harian.

“Ya, saya (sudah mendapat pelepasan daripada PBNP) dan sebab itu saya ke Melaka.

“Ia bukan isu besar. Sekarang ini semuanya sudah selesai dan saya juga akan beraksi sebagai pemain tempatan musim depan.”

Sebelum ini, peminat bola sepak Malaysia tertanya-tanya apabila Sumareh yang merupakan pemain naturalisasi pertama negara tidak kelihatan pada hari pertama latihan pusat di Stadium Hang Jebat.

Dipercayai perkara tersebut berlaku kerana dia belum mendapat pelepasan daripada PBNP.

Mengulas perkembangan terbaharu itu, Cheng Hoe mengakui lega dengan kehadiran pemain berusia 27 tahun itu yang semestinya diharapkan dapat memperkuatkan lagi jentera serangan untuk aksi persahabatan berdepan Sri Lanka, Jumaat ini.

“Saya dimaklumkan Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia) Sumareh akan melaporkan diri hari ini dan ia satu perkara yang melegakan saya.

“Apa yang saya harapkan dia dapat membuktikan kemampuannya dan membalas kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan Harimau Malaya,” kata Cheng Hoe.

Selain Sri Lanka, Sumareh juga akan berdepan ujian kedua bersama Harimau Malaya pada satu lagi aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, 16 Oktober ini sebagai persiapan menghadapi Piala AFF, bulan depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here