Amukan Harimau Malaya Berjaya Dikekang Gajah Perang

1
299

 

Skuad Harimau Malaya mensia-siakan kelebihan beraksi di halaman sendiri dalam kempen separuh akhir pertama Piala AFF 2018 apabila sekadar terikat tanpa jaringan dalam aksi menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Walaupun berjaya menguasai hampir keseluruhan perlawanan sejak wisel permulaan lagi, ketumpulan tindakan penyudah menyebabkan deretan peluang demi peluang telah dipersia-siakan.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe jelas tidak gentar berdepan dengan lawan yang memiliki rekod yang begitu ampuh apabila berjaya menghasilkan 15 jaringan di peringkat kumpulan.

Malaysia menghadirkan ancaman ke kubu Thailand seawal minit ke-4 menerusi Safawi Rashid setelah menyambut bola muntah hasil percubaan Syahmi Safari, namun rembatan kaki kanan pemain berusia 21 tahun itu tinggi melewati palang gol.

Safawi sekali lagi menjadi tumpuan apabila rembatan yang diledakkannya selepas mendapat umpanan cantik dari Mohamadou Sumareh pada minit ke-20 ditepis keluar penjaga gol, Chatchai Bootprom bagi menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

Thailand yang sekali-sekala mengatur gerakan menyerang kubu skuad negara turut memperoleh peluang mencipta jaringan menerusi satu hantaran lambung yang mencari Nurul Sriyankem pada minit ke-24. Namun rembatan yang dilepaskan pemain itu berjaya dihalang Adili Zafuan Abdul Radzak untuk memberikan sepakan penjuru buat Thailand.

Gandingan Sumareh, Safawi, Norshahrul Idlan talaha dan Kapten, Zaquan Adha Abdul Radzak di barisan serangan jelas berjaya mengucar-kacirkan benteng pelawat tetapi masih belum mampu membolosi gawang lawan.

Dua ruang untuk membuat rembatan yang diraih Sumareh turut dilepaskan apabila sepakannya sipi ke kanan dan kiri gawang walaupun Chatchai sudah tertewas.

Bersambung pada babak kedua, tempo permainan sedikit menurun berbanding aksi di babak pertama walaupun kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mencipta gerakan memburu jaringan.

Malaysia terus kempunan untuk menggegarkan jaring gol anak buah Milovan Rajevac itu, termasuk aksi minit ke-64 apabila Norshahrul melepaskan rembatan melewati palang setelah hantaran Zaquan Adha membuka ruang buat penggempur Pahang itu.

Norshahrul, penjaring terbanyak Malaysia dalam kejohanan dengan empat gol, sekali lagi kecewa apabila gerakannya mudah dibaca lawan lima minit kemudian sebelum Safawi terus meleburkan peluang menerusi sepakan kaki kiri yang melambung tinggi.

Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat permainan dan Malaysia jelas berdepan tugas getir apabila bakal membuat perhitungan untuk ke final dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Rabu ini.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here