Andisak Ancaman Utama Kubu Harimau Malaya

0
185

 

Berbekalkan rekod 15 gol dalam empat aksi peringkat Kumpulan B saingan Piala AFF kali ini, Thailand jelas memiliki jentera serangan paling ampuh dengan skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir di separuh akhir nanti.

Bekas pemain kebangsaan, Azraai Khor Abdullah berkata, aksi kalah mati pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil harus digunakan sebaiknya oleh anak buah Tan Cheng Hoe dengan cuba meraih kemenangan selesa sambil memastikan gawang negara turut tidak dibolosi.

Katanya, sumbangan hampir separuh gol buat Thailand yang dihasilkan penyerang berbisa mereka, Adisak Kraisorn dengan lapan gol perlu disekat barisan pertahanan negara apabila kedua-dua pasukan bertemu Sabtu ini.

“Kalau kita tengok ada individu (Adisak) dalam pasukan Thailand boleh lakukan ‘double hatrik’ dalam satu perlawanan dan itu kita kena ambil kira,” katanya merujuk kejayaan Adisak meledak enam gol ketika membenam Timor Leste 7-0 dalam aksi pertama kumpulan di Stadium Rajamangala, Bangkok, 9 November lalu.

“Sebolehnya kurangkan peluang bola dan letakkan seorang pemain untuk merantai pergerakan penyerang itu. Saya percaya Cheng Hoe pasti sedar akan kemampuan pemain itu dan mempunyai cara tersendiri untuk mengekang pergerakan penyerang Thailand,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Semalam, skuad Gajah Perang menepati ramalan muncul juara Kumpulan B selepas menewaskan Singapura 3-0 sekali gus menempah pertemuan separuh akhir berdepan Malaysia selaku naib juara Kumpulan A.

Pertemuan itu sudah pasti menarik buat kedua-dua pasukan dan ia bakal menjadi perlawanan ulangan final ketika edisi 2014 apabila Malaysia tewas dengan agregat 3-4.

Aksi separuh akhir pertama akan berlangsung di Bukit Jalil sementara perlawanan kedua di Stadium Rajamangala pada 5 Disember ini.

“Saya rasa kelebihan kepada kita apabila bermain dulu di tempat dan depan penyokong sendiri. Malah, rekod lalu membuktikan bahawa apabila beraksi di Bukit Jalil keputusan selalunya memihak kita,” katanya yang pernah membawa Kedah menjulang kejuaraan ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.

Untuk rekod, pada aksi final pertama edisi 2010 lalu, menyaksikan Malaysia meraih kemenangan 3-0 ke atas Indonesia di Bukit Jalil sebelum mengesahkan kejuaraan milik negara di Stadium Gelora Bung Karno dengan meraih agregat 4-2 selepas tewas 1-2 di Jakarta.

Pada 2014 lalu juga menyaksikan skuad negara berjaya bangkit daripada kekecewaan di Bangkok selepas tewas 0-2 untuk meraih kemenangan 3-2 di halaman sendiri namun terpaksa akur menerusi agregat 3-4 kepada Thailand. – Barita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here