Apek: Harimau Malaya Tak Boleh Terlampau Yakin

0
226
Foto: FAM

 

Penolong kapten, Khairul Fahmi Che Mat tetap beranggapan Malaysia dan Laos memiliki peluang seimbang walaupun skuad Harimau Malaya dilabel sebagai pasukan pilihan dalam pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali Apek mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin untuk meraih kemenangan, kerana perasaan tersebut mampu menjerat diri sendiri jika pemain bersikap mengambil mudah dengan cabaran daripada pemain lawan.

Tambah Apek lagi, semua pasukan yang bersaing dalam Piala AFF 2018 memiliki kekuatan tersendiri termasuklah Laos yang kini dibimbing V Sundramoorthy yang terdesak untuk meraih kemenangan setelah tewas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi sulung, Khamis lalu.

“Kita turun untuk tiga mata pada perlawanan esok (ini). Kita akan beraksi di stadium sendiri, jadi kami akan beraksi dengan yakin, tetapi jangan terlampau yakin.

“Laos mungkin boleh membuat kejutan. Jadi kita kena fokus sepenuhnya,” katanya pada sidang media pra-perlawanan peringkat Kumpulan A, Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengulas lanjut, Apek memberitahu motivasi skuad negara berada di tahap terbaik selepas membuka kempen Piala AFF dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan 1-0 keatas Kemboja di tempat lawan, Khamis lalu.

Apek menegaskan kemenangan kedua ke atas Laos malam ini amat penting untuk mencerahkan laluan Malaysia ke separuh akhir, malah ia juga akan memberi kelebihan psikologi untuk berdepan dua pasukan terkuat Kumpulan A, Vietnam dan Myanmar, selepas ini.

“Untuk pastikan kita lebih bersedia menentang Vietnam dan Myanmar, kita mesti lepas (menang) dengan Laos.

“Saya percaya rakan-rakan sudah bersedia untuk memberikan 100 peratus dalam perlawanan dengan Laos,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here