Azraai Tidak Bersetuju Liridon Dan De Paula Sarung Jersi Harimau Malaya

0
315

 

Isu pemain naturalisasi semakin hangat diperkatakan selepas skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam di pentas final.

Ramai yang memperkatakan kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dilihat telah memberi impak positif dalam mempertajamkan jentera serangan Harimau Malaya sepanjang kempen tersebut.

Lebih menarik, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi telah mengesahkan dua pemain import Liga Malaysia (Liga M), Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi dalam perancangan untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan pada musim depan sekaligus dapat menyarung jersi Harimau Malaya pada masa depan.

Malah, pemain berdarah kacukan, Lee Tuck yang merupakan arkitek pasukan Terengganu FC (TFC) turut dikatakan dalam radar FAM untuk dinaturalisasikan.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Kedah yang meraih dua gelaran trebel, Mohd. Azraai Khor mempunyai pandangan yang berbeza apabila tidak bersetuju dengan nama-nama yang disarankan tersebut.

Oleh itu, Azraai berharap FAM menapis terlebih dulu kualiti pemain sekiranya berhasrat memanggil mana-mana pemain import untuk menyarung jersi Harimau Malaya kerana dia percaya pencarian pemain naturalisasi perlu dilakukan untuk sasaran jangka panjang.

“Saya anggap Guilherme (de Paula) sudah tidak sesuai lagi untuk dipanggil me­nyarung jersi kebangsaan atas faktor umurnya yang bakal mencecah 33 tahun pada musim depan.

“Sementara itu, Liridon (Krasniqi) pula masih muda dan memiliki teknik bola sepak yang baik tetapi dia dikhabarkan mempunyai sedikit sikap negatif dan masalah disiplin.

“Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh FAM sekiranya mahu memancing pemain naturalisasi baharu adalah mencari bakat muda yang menyerlah dalam Liga M untuk tempoh lima tahun seperti Sumareh dan jangan pilih sebarangan ,” katanya kepada Kosmo!

Mengulas lanjut, Azraai mengakui posisi kritikal untuk kesebelasan utama Harimau Malaya yang perlu diisi oleh ‘tenaga asing’­ adalah di bahagian serangan selepas dilihat tumpul dalam kejohanan Piala AFF Suzuki lepas.

“Saya lihat Sumareh masih lagi belum memiliki persefahaman bersama rakan-rakan sepasukan. Pen­ting buat pemain naturalisasi baharu negara nanti untuk menyesuaikan diri dengan falsafah dan budaya bola sepak tempatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here