Bakpe Ambe Pilih ‘Ganu’, Peteh Ganu Peteh!

0
364

 

Selepas 17 tahun, sekali lagi Terengganu FC dan Perak bertembung pada final Piala Malaysia dalam aksi yang boleh diibaratkan pertemuan buku dengan ruas.

Ia pentas final ketiga menemukan Perak dan Terengganu selepas 1998 dan 2001.

Apa pun kedua-dua pasukan jelas mempunyai kekuatan setara baik dari segi prestasi mahupun rekod pertemuan musim ini dengan masing-masing pernah mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan sepanjang empat pertemuan.

Bagi penulis cukup sukar memilih pasukan pilihan pada aksi final kali ini, namun mungkin sedikit kelebihan kepada skuad Peteh kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang pastinya mahu menamatkan penantian 17 tahun Piala Malaysia.

Alasannya mudah, walaupun Perak mendapat sentuhan ‘pakar Piala Malaysia’ Mehmet Durakovic yang sudah menghimpun empat gelaran, namun Terengganu ternyata memiliki pakej lengkap di semua posisi.

Tidak salah jika skuad kali ini dibandingkan dengan barisan bintang 1998 yang terdiri daripada pemain seperti Zubir Ibrahim, Anuar Jusoh, Rosdi Talib, Jean Nyima, Syamsol Saad, Mohd Noor Derus, Seidu Issifu dan Samuel Chebli.

Cuma Terengganu perlu berhati-hati dan harus segera mengikis sikap terlalu yakin supaya tidak mengulangi kesilapan skuad itu yang dianggap sebagai pilihan sebelum tumbang di tangan Perak menerusi penalti.

Di atas kertas, skuad Peteh yang dibimbing Abdul Rahman Ibrahim pada final 1998 itu tampil lengkap di semua posisi sama seperti apa yang dimiliki oleh anak buah Irfan yang akan membuat perhitungan bertemu The Bos Gaurus malam ini.

Malah, mereka menghidangkan corak permainan menyerang paling menghiburkan musim ini dan buktinya 27 gol yang terhasil sepanjang 10 perlawanan Piala Malaysia setakat ini.

Jentera serangannya yang ditunjangi Kipre Tchetche dan diapit gandingan tengah Lee Tuck dan Faiz Nasir tampil memukau dan keserasian kombinasi ketiga-tiga pemain ini yang mampu menjadikan anak buah Durakovic berputih mata malam ini.

Mereka tampak melengkapi satu sama lain dengan Tchethe dan Lee Tuck sudah menghimpun 10 gol dalam saingan ini, namun kerajinan berlari menjadikan Tchethe watak dominan dalam padang. Import Ivory Coast itu bukan penyerang No 9 tipikal yang menunggu bola untuk disudahkan.

Dia akan turun sedikit ke bawah untuk mendapatkan bola, sebelum menggunakan kelebihan teknikal untuk memberi masalah kepada pertahanan kiri atau kanan lawan.

Selain itu, faktor pengalaman 19 tahun Irfan dalam liga tempatan dijangka akan membawa perbezaan malam ini apatah lagi Piala Malaysia menjadi satu-satunya gelaran yang belum pernah dimenanginya selepas dikecewakan dengan kekalahan 1-2 Terengganu kepada Negeri Sembilan pada final tujuh tahun lalu.

Berbalik kepada soal di atas padang, saya jangka perlawanan di Stadium Shah Alam akan berakhir dengan kemenangan 3-1 buat Terengganu. Awas sayap kiri Terengganu, J Partiban bakal mencuri tumpuan malam ini. – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here