Bale Bukan ‘Pemimpin’ Sejati Seperti Ronaldo

0
687

 

Bekas penyerang Real Madrid, Predrag Mijatovic mengecam Gareth Bale yang disifatkan kurang kualiti kepimpinan serta mengkritik jurulatih Santiago Solari selepas pemburuan gelaran La Liga skuad Galacticos disekat dengan keputusan seri di Villarreal, semalam.

Bale yang dibeli dengan harga rekod kelab terpaksa digantikan pada separuh masa pertama ketika pasukan itu mendahului 2-1 dan Solari kemudian mengeluarkan perancang utama Luka Modric yang tidak begitu sihat.

Peluang itu diambil sepenuhnya pemain veteran, Santi Cazorla yang meledak gol buat kali kedua menerusi tandukan untuk menyamakan kedudukan 2-2 berbaki lapan minit perlawanan yang meninggalkan Real di tangga keempat liga, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Barcelona.

“Apa yang sering terjadi dengan Bale benar-benar memalukan. Saya amat menggemarinya sebagai pemain tapi dia langsung tidak berfungsi sebagai pemimpin selepas Cristiano Ronaldo pergi,” kata Mijatovic. “Ia membimbangkan dan dia juga sering mengalami kecederaan.”

Bale yang hanya meledak empat gol dalam saingan liga musim ini sudah lebih 20 kali mengalami kecederaan sejak perpindahannya dari Tottenham Hotspur pada 2013.

Sekalipun pemain Wales itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius musim ini, dia sudah digantikan sebanyak 15 kali dalam semua pertandingan sekali gus mencetus kebimbangan mengenai kemampuannya beraksi selama 90 minit.

Mijatovic yang meledak gol kemenangan ketika Real menjuarai Liga Juara-Juara pada 1998 menewaskan Juventus turut mengkritik Solari kerana mengeluarkan Modric selain mengakui tidak menikmati permainan yang ditampilkan pasukan itu musim ini.

“Jika pemain memulakan permainan dan berasa bagus dan tidak meminta untuk ditukarkan, saya tidak faham mengapa beliau mengeluarkannya. Beliau (Solari) membuat kesilapan besar dengan mengeluarkan Modric.” – AFP (Berita Harian)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here