Banyak ‘Kerosakan’ Di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari

0
277

 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah melakukan lawatan mengejut ke Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang pada petang Jumaat.

Lawatan tersebut dibuat selepas beliau mendengar banyak komen daripada jurulatih, ibu bapa dan orang awam berhubung keadaan akademi itu yang mengalami banyak kerosakan.

“Saya ke sini untuk melihat sendiri bagaimana sebenarnya keadaan AMD.

“Saya difahamkan dalam masa enam bulan, sudah ada lebih 700 kerosakan dan hanya 83 sahaja yang sudah dibaiki oleh kontraktor utama setakat ini,” katanya menerusi Twitter pada petang Jumaat.

Tambah Syed Saddiq, kemudahan yang terdapat di AMD tidak diselenggara dengan baik dan kakitangan terpaksa menggunakan peralatan peribadi seperti komputer riba untuk menganalisa video akademi tersebut.

Selain itu, pelajar dan kakitangan AMD juga tidak mempunyai kemudahan ‘wifi’ dan terpaksa mencari isyarat di bahagian tangga bagi mendapatkan sambungan internet.

“Kebetulan semasa saya tiba di AMD, waktu itu hujan. Beberapa siling mengalami kebocoran.

“Di dewan makan pun basah kerana konsep dewannya yang agak terbuka,” kata Ahli Parlimen Muar tersebut.

Menurut menteri itu, kawasan padang sepatutnya boleh digunakan walaupun ketika cuaca hujan, namun tenggelam akibat banjir.

Tambah mengecewakan apabila bilik yang dikhaskan untuk ruang gimnasium kosong tanpa sebarang peralatan bersenam.

AMD yang dibina pada 2016 dengan peruntukan RM85 juta dengan objektif membawa dimensi baru dalam bola sepak negara berdasarkan kepada latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa.

Akademi itu bertindak sebagai pusat untuk pemain muda terbaik dari seluruh negara menimba ilmu dan kemahiran dalam bola sepak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here