Bekalan Hanya Cukup-cukup Makan, Kelatan Perlu Serang Habis-habisan

0
2936

 

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah menuntut anak buahnya menanamkan mentaliti kemenangan ketika berdepan Sabah dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Bagi Yusri, amat penting untuk barisan pemain Kelantan memiliki sikap sedemikian berikutan pasukannya hanya memiliki kelebihan satu gol berdasarkan perkiraan agregat semasa, manakala lawan memiliki kelebihan satu gol tempat lawan.

“Apa pun kita masih ada satu gol dibawa ke sana dan untuk mencapai kemenangan, pemain perlu beraksi sebagai satu unit berpasukan, bertindak dengan menyerang habis-habisan kerana bekalan kita ada ini hanya cukup-cukup makan.

“Mereka kena manfaatkan setiap peluang terhidang, ia seharusnya disudahkan dalam bentuk jaringan kerana cara ini sahaja dapat memberi tekanan ke atas Sabah, malam esok (ini),” katanya kepada Sinar Harian.

Pada suku akhir pertama di Kota Bharu, minggu lalu, Kelantan hanya mampu meraih kemenangan tipis dengan menewaskan Sabah 2-1. Bekalan yang kurang selesa untuk dibawa skuad pantai timur itu ke gelanggang lawan malam ini.

Oleh itu, Yusri mahu jentera serangan Kelantan tidak mempersia-siakan peluang sebagaimana dalam aksi terdahulu. Dia turut menggesa barisan serangan pasukannya lebih efektif di depan gawang Sabah bagi aksi malam ini.

“Saya tak fikir soal bila kita boleh dapat jaringan awal atau sebaliknya tetapi lebih penting sekarang adalah bahagian serangan perlu lebih bijak menggunakan peluang dalam perlawanan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, Yusri mengingatkan anak buahnya tidak terperangkap dengan percaturan taktikal Sabah yang dijangka akan tampil lebih memberbahaya di hadapan puluhan ribu penyokong mereka.

Malah Yusri percaya skuad kendalian Jelius Ating pasti akan tampil dengan corak permainan lebih keras dalam usaha mereka mahu memadamkan defisit jaringan yang dimiliki Kelantan.

“Kita tahu bukan tugas mudah untuk mendapatkan keputusan positif di sana dan apa yang saya perlukan sekarang adalah komitmen pemain agar tidak terbawa-bawa rentak pasukan lawan.

“Kita harus bersedia menghadapi situasi perlawanan seperti ini tambahan pula semua tahu Stadium Likas bukanlah gelanggang yang mudah bagi mana-mana pasukan luar untuk menewaskan Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here