Benarkah Rakyat Betul-betul Menolak PH Menyebabkan Kekalahan Hatrik di 3 Kawasan?

0
12

Kekalahan PH sebanyak tiga kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan terbaru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menunjukkan kekecewaan rakyat terhadap kerajaan sekarang.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, kekecewaan rakyat berkisar kepada menteri yang tidak kompeten, dasarnya tidak jelas, kos hidup semakin meningkat dan tadbir urus yang lemah.

“Begitu juga dengan tindakan kerajaan hari ini. Jangan diulangi kesilapan kerajaan dahulu. Mengulanginya bererti membetulkan kata-kata oposisi (pembangkang) hari ini bahawa kerajaan PH adalah kerajaan sepenggal.

“Setelah PRK Rantau, rakyat menghantar mesej mudah: Musnahnya harapan mereka dengan kerajaan PH ini,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari UKM, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Nor berpendapat kesetiaan politik pada zaman kini tidak lagi tertumpu kepada parti, sebaliknya kepada prestasi dan kumpulan yang memahami keperluan mereka.

Menurutnya, sentimen semasa rakyat yang tidak positif terhadap PH juga menyebabkan parti itu kehilangan sokongan pengundi atas pagar yang menyumbang kepada kemenangan besar calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau.

“Isu semasa dan sentimen pengundi buat masa ini di Rantau dan banyak kawasan khasnya di Semenanjung, tidak begitu memihak kepada PH dalam beberapa isu penting.

“Sesetengah rakyat melihat, pemerintahan PH setakat ini tidak banyak berbeza dengan kerajaan lama meskipun telah ada beberapa tindakan pembetulan dilakukan oleh kerajaan semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, kemenangan hatrik BN merupakan satu lagi isyarat kepada PH untuk lebih serius dalam merencana pembangunan sosio-ekonomi negara.

“Perancangan itu perlulah bertunjangkan rakyat dan modal insan berbanding dasar-dasar pro-kapitalis dan projek mega.

“Ia juga menuntut PH lebih sensitif dalam pengurusan politik, nilai dan masyarakat Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas menewaskan tiga lagi lawannya, Dr S Streram dari PH dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi sementara Dr Streram mendapat 5,887 undi; Mohd Nor dengan 79 undi dan Malarvizhi memperoleh 83 undi.

Hanya Kekalahan Bersifat ‘Sementara’?

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, Dr S Streram bukan punca yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Sebaliknya kata beliau, PH tewas kerana rakyat masih berada dalam keadaan “kejutan budaya” berikutan kemenangan PH dalam pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.

“Pemindahan kuasa belum selesai dan kerajaan PH berdepan dengan banyak PRK. Ini (Rantau) adalah PRK ke-7 dalam tempoh 1 tahun.

“Dan ke-8 akan datang,” katanya merujuk kepada PRK Sandakan yang dijadualkan pada 11 Mei depan.

Zuraida bercakap kepada pemberita selepas melancarkan satu program gotong royong bagi menghapusakan ancaman demam dengue di kawasan Parlimen beliau di sini.

Beliau disoal sama ada Streram, yang merupakan calon PH di situ, merupakan sebab bagi kegagalan parti kerajaan tersebut merampas Rantau daripada Barisan Nasional (BN).

Zuraida sebelum ini membantah keputusan PKR untuk meletakkan Streram sebagai calon, sebaliknya mahukan seorang calon wanita kerana tidak ada wanita yang bertanding mewakili PH di Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau buat kali ke-5 dalam PRK itu yang diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihanraya membatalkan kemenangan beliau di kerusi berkenaan sebelum ini.

Beliau mendapat 10,397 undi, berbanding Streram yang meraih 5,887 undi. Calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 83 dan 79 undi.

Pada 28 April tahun lepas, Mohamad menang tidak bertanding di situ selepas Streram tidak dibenar masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak mempunyai pas masuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Zuraida berkata, senario PH kalah pilihan raya itu hanyalah “sementara”.

“Berikan sedikit masa sehingga keadaan politik dan Kabinet lebih stabil.

“Rakyat akan dapat lihat perubahan yang dilaksanakan dengan lebih jelas,” katanya dengan menambah bahawa beliau percaya PH dapat bertahan dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

PH memenangi 4 daripada 7 PRK yang diadakan selepas pilihan raya umum Mei tahun lepas, dengan BN menang 3 daripadanya.

PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan kerusi Parlimen Port Dickson.

BN pula menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih dan Rantau.

Hati-hati, Jangan Pandang Ringan ya PH

Walaupun Pakatan Harapan (PH) menerajui kepimpinan kerajaan negeri dan juga kerajaan Pusat, kekalahan dalam tiga pilihan raya keci (PRK) yang lalu tidak harus dipandang ringan kerana ia adalah suara rakyat yang dizahirkan melalui peti undi., kata Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Pulau Pinang, Abdullah Mohd Nor.

Beliau berkata, adalah perlu bagi PH untuk melihat kembali segala kepincangan, kegagalan dan kerunsingan yang membelenggu pemikiran rakyat sehingga mereka menolak PH dalam tiga PRK di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau.

“Sebelum ini terbukti pengundi memberi kemenangan kepada BN semasa PRK Parlimen Cameron Highland.

“Kemudian mereka sekali lagi melakar sejarah yang sama apabila menolak PH dalam PRK Semenyih.

“Kini dengan kemenangan BN bagi PRK Rantau, memperlihatkan adanya kepincangan yang harus diberi pertimbangan yang serius, ” ujarnya ketika ditemui pada Ahad.

Abdullah yang juga merupakan aktivis masyarakat turut berkata, menjelang setahun kemenangan PH dalam PRU 9 Mei yang lalu, maka setiap kelompongan yang ada mesti diisi dengan segera.

Malah tegasnya lagi, rakyat tidak akan lupa dengan setiap janji yang telah dikumandangkan pada PRU ke 14 yang lalu.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat dalam PRU 9 Mei yang lalu, adalah suatu yang amat bernilai dan paling berharga.

“Justeru itu sebagai kerajaan yang sedang memimpin, maka setiap janji yang telah dibuat sebelum ini mesti direalisasikan kerana rakyat tidak mudah lupa setiap ucapan dan laungan yang telah dizahirkan sebelum mendapat kemenangan.

“Sehubungan itu, adalah amat perlu menilai dan meneliti kembali janji-janji yang dikeluarkan dan dikotakan semaksima mungkin, agar rakyat tidak serik dan terus menolak PH, ” tambahnya lagi.

Kata Abdullah lagi isu melibatkan kepentingan Melayu, agama Islam, kedudukan Raja-Raja dan sebagainya tidak harus dibiarkan berleluasa diperdebatkan dan diperlekehkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Semua perkara ini tegasnya, amat sensitif dan memberi kesan kepada sokongann yang mampu di raih samada dalam PRK maupun PRU yang akan datang.

Sumber : Sinar Harian, MalaysiaDateline dan FMT

Dah habis baca? Jom like page Alert TV Malaysia

The post Benarkah Rakyat Betul-betul Menolak PH Menyebabkan Kekalahan Hatrik di 3 Kawasan? appeared first on Alert TV Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here