Bibi Tak Pasti Punca Kelantan Tidak Diluluskan Lesen, Akan Ketuai Delegasi Bertemu FAM Isnin Ini

0
1741

 

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan menyemak semula segala keperluan bagi memastikan badan induk bolasepak negeri itu memperolehi lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) oleh Badan Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan mengatakan pihak KAFA akan menyegerakan semakan serta akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh FAM.

“Saya menerima perkhabaran ini dan setakat ini saya tidak dapat pastikan apa yang menyebabkan Kelantan tidak diluluskan lesen.

“Ada beberapa kriteria perlu dipenuhi untuk mendapatkan lesen kebenaran bertanding dan kami akan semak balik serta penuhi semua syarat itu,” kata Bibi ketika sidang media selepas Kongres Tahunan KAFA kali ke-64, semalam.

Selain itu, KAFA akan mengadakan pertemuan dengan FAM bagi mendapat kepastian mengenai kegagalan mereka dalam permohonan lesen untuk menyertai Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bibi sendiri akan mengetuai delegasi pertemuan itu dengan FAM bagi menyelesaikan beberapa masalah yang menjadi penyebab KAFA sehingga kini masih belum mendapat kelulusan untuk mendapat lesen berkenaan.

Terdahulu, FAM menerusi lawan sesawang rasminya menjelaskan hanya Kelantan satu-satunya pasukan Liga Super 2018 yang ditolak permohonan untuk mendapatkan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana gagal menepati kriteria yang ditetapkan.

FAM dalam satu kenyataan yang sama memaklumkan enam kriteria utama perlu dipatuhi setiap pasukan sebelum berjaya mendapat lesen antaranya kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Bibi mengatakan isu berkaitan lesen menjadi bebanan yang sukar oleh pihak KAFA walaupun ia perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Mungkin lesen tidak diluluskan kerana tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap beberapa pemain.

“Kalau penyokong gusar, saya lebih daripada itu kerana ia melibatkan nasib pasukan dan kami perlu berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here