Bintang Singa Utara Akan ‘Angkat Kaki’ Beramai-Ramai

0
350

 

Bayangan pasukan Perlis bakal lumpuh terserlah apabila beberapa pemain bintangnya tidak tersenarai ketika aksi sulung Liga Perdana 2019 menentang UKM FC di Stadium Cheras, malam kelmarin.

Antara pemain terbabit ialah Mohd Badhri Radzi atau lebih mesra disapa Piya, Khyril Muhymeen Zambri dan Nasriq Baharom sekali gus menghangatkan desas-desus mereka bakal angkat kaki meninggalkan pasukan itu angkara tidak dibayar gaji.

Malah, lebih ramai pemain Singa Utara dijangka mengikuti langkah mereka sekali gus bakal menyaksikan pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu ‘tutup kedai’.

Menurut sumber, semua pemain menunggu sehingga Khamis ini sebelum menentukan hala tuju masing-masing berikutan terdapat terma dalam kontrak yang menjelaskan perjanjian akan terbatal serta merta sekiranya tidak menerima gaji dua bulan berturut-turut.

“Apa yang saya tahu, kalau pemain tidak menerima gaji untuk tempoh dua bulan, kontrak dikira terbatal dan secara automatik pemain boleh pergi ke mana sahaja.

“Tidak banyak yang saya boleh kongsikan namun apa yang saya diberitahu jika mereka belum terima bayaran Khamis ini, mereka boleh menentukan haluan mereka. Namun buat masa ini, mereka akan terus tunggu dan kekal ikut prosedur yang betul,” katanya.

Kekalahan 1-2 kepada UKM FC jelas menimbulkan kemarahan penyokong yang bertindak berkumpul di pintu masuk utama untuk bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Situasi itu menghangatkan suasana di pekarangan stadium dan berlarutan dalam tempoh kira-kira setengah jam sebelum disuraikan pihak polis.

Sementara itu, Pegawai Khas Presiden PFA, Hasmawi Hassan mengesahkan kontrak pemain akan terbatal sekiranya mereka tidak menerima gaji dua bulan ketika bertemu penyokong sejurus tamat perlawanan.

“Dalam kontrak pemain layak buat apa saja kalau (selepas) dua bulan. Kita tengok sampai 7 hari bulan (Khamis ini),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here