Bola Sepak Indonesia Terus ‘Tercemar’, Kali Ini Seorang Penyokong Maut Dibelasah

0
1739

 

Bola sepak Indonesia terus dicemari dengan insiden pergaduhan dan keganasan penyokong yang melampau.

Kali ini, seorang penyokong kelab bola sepak Persija Jakarta mati ekoran dibelasah sekumpulan penyokong kelab Persib Bandung semalam.

Insiden yang berlaku pada pukul 1 tengah hari sebelum perlawanan itu, mangsa Haringga Sirilla, 23, mati dibelasah penyokong lawan di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Kota Bandung.

Setakat ini 10 suspek telah ditahan Polis Bandung untuk membantu siasatan.

Kejadian pergaduhan sehingga membawa maut bukanlah perkara baharu membabitkan kedua-dua pasukan dalam Liga 1 bola sepak Indonesia.

Pada perlawanan semalam, tuan rumah Persib Bandung berjaya menewaskan pasukan pelawat Persija Jakarta dengan keputusan 3-2. Kemenangan tersebut membolehkan Persib kekal di tangga teratas Liga 1, manakala Persija kini berada di tangga keenam.

Sejak 2012, dilaporkan sebanyak tujuh penyokong dari kedua-dua kelab itu terbunuh akibat pergaduhan.

Insiden terbaru semalam pastinya akan menimbulkan kebimbangan berkenaan masa depan bola sepak Indonesia yang pernah digantung oleh FIFA.

Di peringkat antarabangsa, semua pihak sudah mengetahui sikap fanatik dan agresif penyokong Indonesia sehingga sering kali menimbulkan kebimbingan ramai pihak apabila terpaksa beraksi di Indonesia.

Pada Julai lepas misalnya, pemain Malaysia dihujani balingan botol dan batu selepas aksi Piala AFF bawah 19 tahun. Malah lagu Negaraku turut diejek penyokong Indonesia ketika aksi bertemu Indonesia di Surabaya itu.

Insiden terbaru kematian penyokong bola sepak ini telah menimbulkan pelbagai polemik di media Indonesia.

Demi masa depan bola sepak Indonesia, para netizen, pemerhati bola sepak serta pemimpin politik Indonesia mahu tindakan agresif diambil segera.

Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Ratu Tisha Destria ternyata kesal dengan sikap segelintir peminat bola sepak Indonesia yang berkelakuan ganas dan tidak mengamalkan semangat kesukanan itu.

Memetik kata-kata Ratu Tisha yang pastinya perlu dihayati para peminat bola sepak Indonesia:

“Kita semua sudah tahu betapa hebatnya suporter Jepang (Jepun) yang bersih-bersihkan stadium setelah (sekalipun pasukannya) kalah (dalam aksi Piala Dunia 2018).

“Tapi, ketika kita kalah yang levelnya baru di peringkat liga tempatan atau Asia, jangankan (untuk) membersihkan sampah, malah kita melemparnya (kepada pemain lawan),” katanya.

Pemain kelab Persija Jakarta yang juga bekas pemain Selangor, Bambang Pamungkas ternyata kesal dengan kejadian terbaru itu. Malah dia bersetuju sekiranya sukan bola sepak tidak perlu lagi diadakan di Indonesia jika kejadian pergaduhan membawa kematian itu berterusan berlaku.

“Agak ngilu sih bayangin tidak ada sepak bola di Republik, tapi saya setuju,” kata Bambang dalam entri Twitternya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here