Buru 100 Gol Liga Super Misi Indra Untuk Musim 2019

0
97

Hanya lima jaringan lagi diperlukan oleh bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin untuk mencapai 100 gol dalam saingan Liga Super.

Mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 95 gol setakat ini, penggempur Kuala Lumpur itu bagaimanapun menegaskan ia bukan satu tugas mudah meskipun dia hanya memerlukan lima gol bagi mencapai angka bertuah itu.

Jadi, penyerang veteran berusia 38 tahun itu mengakui perlu terus bekerja keras bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), sekali gus memastikan cita-cita yang diimpikan itu dapat dicapai pada musim ini.

“Saya rasa saingan pada tahun ini lebih sengit dan untuk mendapatkan gol, ia bukannya mudah dan memerlukan usaha yang lebih tinggi.

“Saya akan cuba untuk mencapai sasaran 100 gol itu dan jika lebih banyak, ia lebih baik untuk pencapaian diri sendiri.

“Ini mungkin lebih kepada kepuasan diri sendiri dan apabila berada pada tahap tertinggi, ia akan lebih bermakna,” katanya.

Sebagai rekod, 95 gol yang diledak oleh Indra itu dilakar ketika bersama dia beraksi bersama beberapa pasukan seperti Perak, Pahang, Selangor dan juga Kelantan.

Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan, Indra mengharapkan skuad The Hawks itu dapat tampil dengan aksi yang lebih mantap, selepas muncul pasukan pasukan paling banyak dibolosi dalam saingan liga musim lalu.

“Banyak yang perlu diperbaiki dan kita tahu kita perlu beraksi dengan lebih baik supaya tidak lagi mudah dibolosi. Jurulatih juga tentu ada perancangan untuk memastikan Kuala Lumpur akan bertambah baik bagi musim 2019.

“Semua pemain tentunya mengimpikan sesuatu dan begitu juga saya, jadi saya mengharapkan pemain dapat memberikan kerjasama dengan bersatu hati untuk meraih sesuatu pada musim ini,” katanya.

Rekod musim lalu menyaksikan Kuala Lumpur dibolosi 51 gol, lebih buruk berbanding dua pasukan yang tersingkir iaitu Kelantan (43 gol) dan Negeri Sembilan (47 gol). – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here