Cassio Mahu Tambah Duka Sabah

0
91

 

Kapten Kelantan, Cassio De Jesus, mahukan rakan sepasukannya melupakan kekalahan di Selayang minggu lalu, sebaliknya fokus memburu kemenangan pertama menentang Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.

Jesus juga berharap dapat menambah luka skuad kendalian Jelius Ating itu yang kalah 2-1 kepada JDT II di gelanggang sendiri dalam perlawanan pembukaannya.

“Kami sudah lupakan kejutan di Selayang dan mahu beri tumpuan penuh aksi menentang Sabah, Jumaat ini,” katanya.

“Sabah juga terdesak memburu kemenangan pertama selepas kalah di gelanggang sendiri.

“Tentu perlawanan ini sangat menarik untuk ditonton kerana masing-masing mahu menang.”

Jesus yang juga bekas pertahanan kelab Simen Padang itu mengingatkan barisan benteng skuad The Red Warriors (TRW) supaya kekal fokus dan bersedia menghadapi serangan balas pihak lawan.

“Jadikan jaringan Selangor United yang terhasil melalui serangan balas sebagai pengajaran berguna kepada kita.”

Ditanya kekalahan mengejut di Selayang mengundang perasaan panik dalam kalangan pemain, Jesus menafikannya sambil mendakwa pemain sudah bersedia bangkit di gelanggang sendiri.

“Tidak ada perasaan panik, sebaliknya kami semua bersedia untuk memburu kemenangan di Kota Bharu,” tambah Jesus.

“Dalam ingatan kami hanya mahu menang dengan Sabah,” katanya.

Jesus juga mengajak semua penyokong setia TRW turun ke stadium sebagai tanda sokongan padu.

“Kami akan lakukan yang terbaik dan terima kasih atas sokongan anda,” ujarnya.

Untuk rekod, Kelantan memulakan saingan Liga Perdana musim ini dengan langkah kiri apabila kalah 1-0 kepada pendatang baru, Selangor United, manakala Sabah dimalukan 2-1 oleh JDT II di Likas.

-STADIUM ASTRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here