Demi Memperkasakan Harimau Malaya, FAM Sedia Guna Lebih Ramai Pemain Naturalisasi Selepas Ini

0
2043

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan yang mereka bersedia untuk menggunakan lebih ramai pemain naturalisasi bagi tujuan memperkasakan skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi satu kenyataan selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan mengurangkan tempoh Peraturan Pemain Naturalisasi kepada pemain Pahang, Mohamadou Sumareh.

“Keputusan berkenaan boleh dianggap sebagai pembuka jalan buat FAM dalam merealisasikan pengambilan beberapa lagi pemain naturalisasi bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

“Perkembangan ini juga sudah pasti akan memberikan lebih motivasi buat Sumareh sendiri yang sudah pun dipanggil buat pertama kali untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe pada Isnin ini.

“Sokongan padu daripada pihak MFL yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangnya sangat ditagih FAM dalam kita sama-sama berusaha untuk memperkasakan lagi skuad kebangsaan.

“Selain itu, pada masa yang sama ia dapat meningkatkan kualiti saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dikelolakan MFL,” katanya.

Terdahulu, juara Piala FA, Pahang mendapat perkhabaran gembira apbila pemain importnya, Mohamadou Sumareh boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sumareh boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan bermula Mac 2019.

Ini bermakna, dia terpaksa mengisi kouta import pada jendela perpindahan pertama dan perlu menunggu sehingga jendela perpindahan kedua untuk bertukar status sebagai pemain tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here