Dibelasah Malaysia 6-2 Dalam Aksi Pertama, Tajikistan Tempah Tiket Ke Piala Dunia B-17 2019

1
2720

 

Tajikistan yang memulakan kempen Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan dibelasah Malaysia 6-2 telah mencipta kejutan dengan menjadi antara pasukan yang telah mengesahkan tiket ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) 2019.

Kejayaan tersebut diraih Tajikistan setelah berjaya menewaskan juara dua kali, Korea Utara 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir.

Pemenang dalam perlawanan tersebut terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Tajikistan akan mengiringi Jepun ke Piala Dunia B-17 di Peru setelah skuad Samurai Biru turut berjaya melangkah ke separuh akhir setelah menewaskan Oman 2-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Berdasarkan format kejohanan, empat pasukan yang mara ke separuh akhir, layak beraksi pada Piala Dunia B-17 2019.

Dalam perlawanan menentang Korea Utara, Tajikistan bermula garang dengan memimpin perlawanan pada minit ke-13 hasil rembatan kencang Rustam Soirov setelah mendapat hantaran jauh Amadoni Komolov dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama.

Bersambung babak kedua, Korea Utara menguasai perlawanan menerusi beberapa percubaan berbahaya dan akhirnya mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi jaringan Kim Jin Hyok.

Tetapi gol itu tidak dikira kerena pengadil perlawanan mendakwa pemain berkenaan berada pada kedudukan ofsaid sewaktu menjaringkan gol.

Usaha berterusan Korea Utara akhirnya membuahkan hasil menerusi percubaan menarik dari luar kotak penalti oleh Ri Hun pada minit ke-69 yang tepat menerjah sebelah kiri gawang Tajikistan.

Namun tiada tambahan gol pada aksi penuh perlawanan dan memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Khasanov Mukhrid muncul wira buat Tajikistan apabila berjaya menghalang dua sepakan penalti sekaligus membawa mereka mara ke separuh akhir dengan kemenangan 4-2.

Tajikistan akan menentang pemenang perlawanan suku akhir keempat di antara juara dua kali, Korea Selatan dan India pada aksi separuh akhir di Stadium MBPJ, Khamis ini.

Perlawanan suku akhir keempat di antara Korea Selatan dan India akan berlangsung di venue yang sama esok.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here