Dibenam Thailand, Malaysia Tempah Laluan Sukar

1
994

 

Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas 4-2 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan A Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang tadi.

Barisan pemain muda negara gagal mengulangi aksi cemerlang ketika membelasah Tajikistan 6-2, Khamis lalu.

Dalam aksi tersebut, pemain Malaysia kelihatan sedikit gementar sekaligus membolehkan penyerang Thailand, Suphanat Mueanta mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol mudah pada minit kedua.

Namun kedudukan itu hanya bertahan sembilan minit apabila penjaring terbanyak skuad negara, Luqman Hakim Shamsudin menyamakan kedudukan selepas percubaannya dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol, Anuchid Taweesri.

Namun, kelalaian barisan pertahanan negara memakan diri sendiri apabila Suphanat sekali lagi meletakkan Thailand di depan pada minit ke-21 selepas rembatan leretnya berjaya menewaskan penjaga gol negara, Abdul Alim Al Amri Ali buat kali kedua.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia hanya memerlukan tiga minit untuk mengikat kedudukan menerusi jaringan jarak dekat Firdaus Kaironnisam yang menyudahkan hantaran Alif Mutalib.

Kebangkitan yang diharapkan ribuan penyokong Malaysia yang hadir di stadium musnah apabila penyerang utama Luqman Hakim dilayangkan kad merah oleh pengadil, Omar Mohamed Ahmed Hassan pada minit ke-51 selepas mengasari pemain lawan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Thailand untuk mencari gol ketiga dan usaha mereka berhasil apabila Waragon Thongbai tenang menyudahkan hantaran Thanarin Thumsen pada minit ke-67.

Tidak cukup dengan itu, Thailand menambah satu lagi gol pada minit ke-85 menerusi Apidet Janngam sekali gus mengesahkan kemenangan 4-2 skuad Gajah Perang.

Anak buah Lim Teong Kim terpaksa menentukan nasib mereka pada perlawanan terakhir kumpulan berdepan Jepun di gelanggang sama pada Rabu ini. Manakala Thailand yang dilatih Thogchai Rungreangleas akan bertemu Tajikistan.

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here