‘Drogba Ganu’ Anggap Anugerah Penjaring Terbanyak Tidak Bermakna

0
869

­

Setelah empat hari berlalu final Piala Malaysia 2018, kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche akhirnya bersuara dengan melahirkan rasa kesal dan bersalah kerana gagal menunaikan ‘janji’ untuk membawa pulang trofi berprestij itu ke bumi Terengganu.

Malah, pemain kelahiran Ivory Coast itu mengakui tidak dapat ‘tidur lena’ apabila gagal berjuang hingga ke wisel penamat selepas diusung keluar pada penghujung babak kedua akibat kecederaan.

Tchetche telah dinobatkan sebagai penerima anugerah penjaring terbanyak Piala Malaysia bagi musim 2018, namun baginya anugerah peribadi yang diraihnya langsung tidak bermakna kerana gagal memberi kejayaan buat pasukan.

“Ya saya begitu sedih kerana tidak dapat membantu pasukan merangkul trofi Piala Malaysia selepas penantian selama 17 tahun. Sedangkan kami bermula agak baik dan mendahului lawan 2-0 pada babak pertama perlawanan.

“Lebih menyedihkan, saya tidak dapat menghabiskan baki perlawanan kerana mengalami kecederaan serius yang memaksa saya dikeluarkan.

“Walaupun muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia (sembilan gol), tetapi kedukaan saya tidak terubat apabila gagal merangkul piala berprestij di Malaysia itu,” katanya.

Pada aksi final Sabtu lalu, pemain yang diberi gelaran ‘Drogba Ganu’ itu berjaya meledak dua gol pada babak awal dan penghujung babak pertama. Namun TFC tumpas 1-4 kepada Perak menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 pada masa tambahan.

Bagi Tchetche lagi, dia mengakui kecewa kerana gagal membantu pasukan meraih sebarang kejuaraan musim ini walaupun trofi Piala Malaysia hampir dalam dakapan.

Saya kecewa kerana gagal meraih sebarang gelaran musim ini, tetapi itulah bola sepak, kita tidak dapat jangkakan biarpun gelaran Piala Malaysia hampir berada dalam genggaman,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Mengulas mengenai kecederaannya, dia mengalami kekejangan pada paha dan memerlukan rehat beberapa minggu sebelum pulih sepenuhnya.

Diminta mengulas mengenai provokasi melampau aksi tarian dua pemain import Perak (Wander Luiz dan Leandro Dos Santos) ke atas pemain import TFC, Igor Zonjic, baginya perkara tersebut, bagi Tchetche aksi sebegitu tidak sesuai dilakukan.

“Saya fikir tindakan itu tidak bagus dalam bola sepak dan ia tidak perlu dilakukan apatah lagi di Malaysia,” katanya.

Tchetche yang mula menyarung jersi skuad Penyu sejak pertengahan musim lalu dan aksi cemerlangnya membuatkan dia kini diburu oleh beberapa pasukan yang beraksi di Liga Super musim depan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here