FAM Mahu Cheng Hoe Bawa Harimau Malaya Ke Piala Asia 2023

0
101

 

Teka-teki bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang membawa Malaysia ke pentas final Piala AFF 2018 akhirnya terlerai apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik semula Cheng Hoe bagi membimbing skuad Harimau Malaya untuk tempoh 2019-2020.

Perlantikan semula ini dibuat setelah Cheng Hoe menepati sasaran FAM menempatkan Malaysia di pentas final AFF 2018 dan mengakhiri kejohanan itu selaku naib juara selepas kecundang 2-3 secara agregat di tangan Vietnam pada aksi akhir November 2018.

Namun pengekalan Cheng Hoe ini dibebani dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang cukup tinggi iaitu kejayaan pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan juga pentas Piala AFF Suzuki 2020.

Bukan mudah tetapi tidak mustahil untuk Malaysia beraksi di Piala Asia 2023. Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Asia ialah pada 2007 dengan tiket selaku tuan rumah.

Untuk merealisasikan impian besar ini, semua pihak khususnya pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) perlu turut berusaha keras.

Bukan sekadar mengharapkan Cheng Hoe semata-mata namun pasukan Liga M perlu memainkan peranan untuk membangunkan pemain yang terbaik. Amat penting untuk pemain dalam pasukan Liga M membiasakan diri dengan corak permainan dan falsafah yang diterapkan dalam skuad kebangsaan.

Hasrat tersebut mungkin boleh dicapai asalkan dalam tempoh dua tahun ini, Cheng Hoe dapat mengekalkan momentum dan membentuk pasukan yang terbaik untuk mengharungi perlawanan antarabangsa.

Berdasarkan peningkatan dan corak permainan menghiburkan yang ditunjukkan barisan pemain ketika ini, skuad negara dilihat berpeluang cerah untuk ke Piala Asia 2023 dan juga menjuarai Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2020.

Kali terakhir Malaysia beraksi di Piala Asia 2007, Malaysia sekadar menamatkan saingan di tangga tercorot apabila tewas 1-5 di tangga China, 0-5 kepada Uzbekistan dan 0-2 di tangan Iran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here