FAM Tawar Diri Jadi ‘Orang Tengah’ Untuk Selesai Kemelut FAS

0
247
Foto: Bernama

 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bekerjasama dengan Pesuruhjaya Sukan bagi menjadi ‘orang tengah’ untuk menyelesaikan kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman mempunyai kuasa penuh dalam akta sukan membabitkan kelab bola sepak negeri.

“Kita harap perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Saya memaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan bahawa dia boleh tentukan (pengesahan EGM) dan ada kuasa berkaitan segala isu membabitkan ahli gabungan FAM. FAM hanya badan induk kepada mereka (persatuan negeri/ahli gabungan),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama presiden ahli gabungan FAM, Isnin.

Foto: FAM

Kemelut bertambah meruncing apabila Mesyuarat Luar Biasa (EGM) FAS yang diadakan Khamis lepas tidak dapat perkenan daripada Presiden FAS Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Walau bagaimanapun, ahli gabungan yang menghadirnya menganggap EGM tersebut sah mengikut Artikel 34.1 Statut FAS 2010 meskipun wakil FAM dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) tidak hadir setelah dihantar jemputan.

Tengku Amir melahirkan rasa kecewa dengan tindak tanduk beberapa bekas Exco FAS yang diketuai Omar Ali dan Datuk Ariffin Ab Hamid yang dilihat cuba memecah-belahkan badan induk bola sepak negeri itu dengan tetap mengadakan EGM tersebut.

Kemelut bermula selepas Tengku Amir Shah mengambil keputusan memecat 55 anggota gabungan selepas sebulan menerajui FAS. Pemecatan tersebut dibuat bagi membolehkan Presiden FAS melakukan perubahan dalam pentadbiran bola sepak Selangor.

Hamidin mengatakan beliau telah berbincang dengan anggota gabungan FAM mengenai perkara tersebut dan beliau mahu memastikan kesemua anggota gabungan mengikut Statut ditetapkan FAM.

“Kita ada bincang dengan Presiden FAS tadi dan saya sudah tekankan untuk pastikan semua persatuan mesti mengikut Statut persatuan negeri masing-masing. Jika tidak ia akan menjadi pertikaian nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here