FAM Tidak Kesal Keputusan Mencadangkan Perlis Bagi Mengisi Kekosongan Dalam Saingan Liga Perdana 2019

0
160

 

Isu gaji pasukan Perlis sampai ke kemuncaknya selepas pasukan itu gagal melunaskan tunggakan gaji selama dua bulan, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sama sekali tidak menyesali keputusan untuk mencadangkan Perlis bagi mengisi kekosongan dalam saingan Liga Perdana 2019.

Sebelum ini, tiga pasukan memohon untuk mengisi slot kekosongan dalam Liga Perdana, iaitu ATM FA, Kuching FA dan Perlis.

Namun, skuad Singa Utara menjadi pilihan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi kedudukan berkenaan.

Perkara itu menjadi pertikaian kerana Perlis menamatkan kempen Liga FAM di tangga tercorot Kumpulan B musim lalu.

Begitupun, janji yang diberikan oleh pengurusan baru Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dilihat menjadi faktor utama mereka lebih menjadi pilihan walaupun secara meritnya mereka tidak layak berbanding dua lagi pasukan itu.

“Ketika keputusan menyenaraikan Perlis dalam Liga Perdana dibuat November lalu, persepsi dan kedudukan kewangan Perlis berlainan dengan ketika ini.

“Kami tidak kesal mengambil keputusan itu kerana ia satu tindakan yang tepat,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Dalam pada itu, Stuart menjelaskan Jawatankuasa Status FAM masih belum menerima sebarang laporan daripada pemain Perlis musim ini berhubung masalah tunggakan gaji yang dialami mereka.

Berdasarkan prosedur, pemain yang mahu membuat aduan perlu membuat laporan rasmi kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ia dirujuk kepada Jawatankuasa Status FAM.

“Perbincangan FAM dengan PFAM sedang berlangsung.

“Kalau ada lagi isu berbangkit, kami akan bertindak apabila adanya aduan daripada pihak pemain ataupun PFAM,” kata Stuart lagi.

-STADIUM ASTRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here