Felcra FC Dibubarkan! Pasukan Mana Yang Akan Ganti Tempat Pasukan Itu Di Liga Super?

1
3669

 

Felcra FC telah mempamerkan aksi yang cemerlang dalam saingan Liga Perdana 2018 sehingga membolehkan pasukan itu “dinaikkan pangkat” untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.

Namun semua itu tidak cukup menyakinkan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan yang mengambil keputusan membubarkan pasukan berkenaan.

“Felcra FC akan dibubarkan kerana memerlukan kos sebanyak RM8 juta semusim dan tidak memberi keuntungan.

“Beberapa anak syarikat juga akan ditutup dan digabungkan dalam usaha melakukan perubahan struktur dalam Felcra,” kata Pengerusi Felcra, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab pada sidang media pertama beliau selepas dilantik memegang jawatan itu dalam syarikat berkaitan kerajaan tersebut, di Wisma Felcra di sini hari ini.

Mengulas mengenai pembubaran pasukan bola sepak itu, Mohd Nageeb mengatakan ia langkah terbaik selepas melihat suasana ekonomi semasa. Beliau turut menambah pembubaran Felcra FC adalah bagi memastikan aliran tunai syarikat itu dalam keadaan stabil.

Jelasnya lagi, Felcra terpaksa mengambil langkah perjimatan kerana perlu berdikari dalam hal kewangan selepas kerajaan tidak lagi menyalurkan dana kepada syarikat berkenaan.

Kelab Bolasepak Felcra memulakan aksi kompetitif mereka dalam Liga FAM dan telah berusia enam tahun.

Pasukan yang telah melahirkan penyerang sensasi, N. Thanabalan itu berjaya menempatkan diri dalam saingan Liga Perdana 2018 selepas menjuarai Liga FAM musim lepas.

Felcra boleh dikatakan mengharungi musim pertama di Liga Perdana dengan agak menakjubkan apabila skuad bimbingan jurulatih dari Brazil, Tarcisio Pugliese itu berjaya menempatkan diri dalam kalangan dua pasukan terbaik di penghujung musim 2018.

Aksi cemerlang yang dipamerkan pasukan itu telah melayakkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Dengan pengumuman pembubaran pasukan Felcra FC, pasukan ditangga ketiga Liga Premier 2018, MISC-MIFA dijangka akan mengisi slot tersebut namun segala-galanya akan ditentukan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kredit Foto: Felcra FC

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here