Final Piala Malaysia: Pemetik Api Dan Dron Antara Barangan Larangan Ke Stadium

0
366

 

Bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, Polis memberi amaran kepada penyokong supaya jangan sesekali cuba membawa barangan yang dilarang.

Seperti kebiasaan, bahan letupan dan senjata tajam menjadi barangan terlarang utama. Selain itu suar, batang besi dan kayu, pemetik api, payung , botol air minuman dan dron turut tersenarai dalam barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke stadium.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Assisten Komisioner Baharuddin Mat taib, berkata pihaknya akan menempatkan seramai 2,172 pegawai dan anggota polis untuk memastikan kawalan keselamatan dapat dibuat secara menyeluruh di kawasan stadium itu.

“Ia juga merangkumi pasukan khas, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Berkuda akan menjalankan tapisan rapi di 18 pintu masuk bagi mengelak penyokong membawa bahan terlarang.

“Selain penyokong kedua-dua pasukan, kita akan memeriksa peniaga dan petugas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula awal pagi Sabtu sebelum pintu stadium dibuka pada jam 4 petang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan membawa bahan terlarang sehingga mencetuskan kekecohan dan pergaduhan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Baharuddin mengatakan pihaknya turut mendapat kerjasama daripada jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan keselamatan MFL bagi mengawal keadaan di dalam serta luar stadium itu.

Pihak polis turut akan mengawal aliran trafik di sekitar lokasi berkenaan yang bakal dibanjiri seramai 75,000 penyokong.

Bagi mengelak berlaku pertembungan, pihak polis telah menetapkan penyokong Perak perlu memasuki stadium menerusi pintu A dan D, manakala pintu B dan C pula untuk penyokong Terengganu.

Pihak polis juga turut menyediakan tempat letak kenderaan berasingan bagi melancarkan lalu lintas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, pihaknya menasihatkan hanya penyokong yang memiliki tiket hadir ke stadium berikutan ia tidak dijual di stadium berkenaan.

Jelas Mohd Shazli, MFL sebelum ini telah memperuntukkan sebanyak 30,075 tiket bagi setiap pasukan dan 10,500 tiket lagi dijual menerusi dalam talian yang sudah boleh dibeli.

“Penyokong tidak dibenarkan duduk di tangga stadium berikutan kapasiti tiket sudah menetapkan semua penonton hanya duduk di kerusi,” kata Mohd Shazli.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here