Hafizul Mahu Beraksi Bersama Kelab Luar Negara

0
608

 

Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy bersedia untuk beraksi bersama kelab luar negara bagi memantapkan lagi permainannya pada masa akan datang.

Kontrak penjaga gol utama The Bos Gaurus (TBG) itu akan tamat bulan ini dan akan memikirkan pasukan mana yang disertainya pada musim depan selepas berakhir Piala Persatuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018.

Hafizul mendedahkan, seorang ejen pemain ada menemuinya baru-baru ini dan bertanyakan sama ada dia berminat untuk menimba pengalaman dengan kelab di Thailand.

Namun, tiada sebarang tawaran atau perbincangan lanjut diadakan dengan ejen berkenaan kerana ejen itu hanya bertanyakan mengenai hasratnya.

“Ada ejen pemain datang berjumpa dan tanya sama ada saya berminat untuk bermain dengan kelab di Thailand dan saya menyatakan yang saya berminat namun saya tidak menganggap itu sebagai tawaran lagi.”

“Saya masih belum membuat sebarang keputusan lagi kerana sekarang sedang fokus menghadapi Piala AFF dan keputusan akan dibuat selepas berakhirnya kejohanan ini,” katanya kepada NSTP.

Sebelum ini, tersebar berita mengatakan penjaga gol berusia 25 tahun itu akan berhijrah ke kelab Muangthong United di Thailand musim hadapan selepas kontraknya bersama pasukan Perak akan tamat bulan ini.

Mengulas lanjut, Hafizul mengatakan dia juga ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan negeri dan kelab namun enggan mendedahkannya.

“Memang ada tawaran dari pasukan lain namun tidak boleh mendedahkan nama pasukan itu dan seperti saya katakan yang saya masih belum membuat sebarang keputusan sama ada kekal dengan Perak atau sebaliknya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here