Hamidin: Layak Ke Final Piala AFF jadi KPI Buat Harimau Malaya

1
558

 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nampaknya ‘berselera besar’ apabila meletakkan sasaran layak ke final buat skuad Harimau Malaya bagi saingan Piala AFF 2018 yang dijadualkan akan berlangsung dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu diumumkan sendiri oleh Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe sejak dipilih menerajui kerusi panas itu pada Julai lalu.

“Saya dah tetapkan lama, untuk Sukan Sea Filipina 2019 (kendalian Datuk Ong Kim Swee) dan Piala AFF Suzuki, kita mahu final. Saya sasar final untuk kejohanan di peringkat Asean, itu KPI saya.

“Tapi ingin saya jelaskan itu adalah KPI, kalau jurulatih tak capai, kita tunggu dulu laporan kerana mereka mungkin ada alasan kukuh.. Bukan bermakna bila saya cakap final, saya tak akan baharui kontrak,” kata Hamidin di Wisma FAM kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Hamidin mengatakan untuk kejohanan peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pihaknya menetapkan sasaran sekurang-kurangnya layak ke pusingan 16 terakhir.

“Untuk AFC, kita mahu kekalkan pencapaian ketika Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi presiden.. itu petanda aras saya,” katanya.

Untuk rekod, skuad Malaysia telah mara ke Final Piala AFF sebanyak tiga kali tetapi hanya pernah bergelar juara pada edisi 2010. Manakala untuk edisi 1996 dan 2015 skuad Harimau Malaya sekadar muncul naib juara selepas ditewaskan Thailand di kedua-dua edisi final berkenaan.

Mengulas mengenai pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, Hamidin berharap ianya mampu memberikan lebih banyak pilihan pemain buat Tan Cheng Hoe dalam memperkuatkan jentera serangan negara di Piala AFF nanti.

“Saya percaya Cheng Hoe akan kumpulkan barisan pemain terbaik saingan kali ini. Beliau masih menguji pemain yang sedia ada sepanjang beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini. Beliau dijangka umum pemain yang dipilihnya pada minggu depan,” katanya.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here