Hanya 2,000 Keping Tiket Dijual Stadium, PBSNT Nafi Agihan Tiket Berkait Politik

0
186

 

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan tiket final Piala Malaysia diagihkan dengan kepentingan politik.

Timbalan Presidennya Hishamuddin Abdul Karim menjelas pihaknya menerima 30,000 keping tiket daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan telah mengagihkan ke setiap daerah menerusi persatuan dan kelab bola sepak masing-masing.

Jelas Hishamuddin lagi, selain Terengganu FC (TFC) sendiri pengagihan juga ada dibuat kepada kelab penyokong, akademi sukan dan syarikat bukan kerajaan (GLC) yang melibatkan sebanyak 28,000 keping tiket. Manakala baki 2,000 keping lagi dijual di kaunter Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSIN).

Namun, Hishamuddin mengatakan pihaknya akan melakukan bedah siasat mengenai isu pengagihan tiket perlawanan itu yang telah mengundang kemarahan penyokong TFC.

“Kita bersikap telus dan sudah memaklumkan lebih awal hanya 2,000 tiket akan dijual di kaunter dengan harapan sebilangan besar penyokong sudah memperoleh tiket yang dijual persatuan dan kelab bola sepak di daerah masing-masing.

“Bagaimanapun kita tidak tahu bagaimana kaedah kelab penyokong mengagihkan tiket berkenaan sama ada dibuat secara telus atau sebaliknya,”  kata Hishamuddin kepada media di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, selepas mengiringi pasukan TFC berlepas ke Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut mengenai isu terbabit, Hishamuddin mengatakan pihaknya bersedia mengkaji semula kaedah dan taktikal penjualan tiket untuk masa hadapan dan turut kesal apabila ada penyokong sudah memperoleh tiket lebih awal sebelum ia dijual pagi ini.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan sudah mengarahkan jawatankuasa pengurusan tiket membuat laporan lengkap berhubung penjualan dan pengagihan tiket.

“Sekiranya terdapat unsur tidak telus, tidak mustahil kita akan membabitkan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

“Sekiranya kaedah ini dilihat tidak telus, kita akan mencari satu kaedah baru dengan mewujudkan pusat penjualan tiket setempat yang akan dikendalikan pihak berkecuali sebagai contoh pejabat daerah di setiap daerah untuk masa akan datang,” katanya.

Hishamuddin berharap penyokong TFC dapat terus memberikan sokongan kepada pasukan bagi memenuhi impian menjulang piala berprestij itu buat kali kedua selepas berjaya melakukannya pada 2001.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here