Hari Jumaat-Waktu Paling Mustajab Untuk Berdoa.. Jangan Lepaskan Peluang Ini Untuk Memohon Semua Yang Dihajati

0
309

Pada hari jumaat terdapat satu masa yang dimustajabkan doa bagi sesiapa yang berdoa kepada Allah SWT. Betapa istimewanya hari Jumaat sehingga ia digelar penghulu segala hari. Jumaat adalah hari yang Allah hadiahkan kepada umat Islam. Hari Jumaat merupakan hari yang mulia dan juga hari raya buat umat Islam.

Ini kerana pada hari Jumaat diwajibkan kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat di masjid secara berjemaah yang mana tidak terdapat pada hari yang lain.

Melalui hadis Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari yang paling agung di sisi Allah, ia lebih besar di sisi Allah dari hari raya Aidiladha dan Aidilfitri. Padanya ada lima perkara, iaitu hari Allah menjadikan Adam, hari Allah menurunkan Adam ke bumi, padanya Allah mematikan Adam dan padanya juga ada satu saat apabila seseorang itu tidak memohon sesuatu melainkan Allah memberikannya selagi dia tidak memohon sesuatu yang haram dan padanya (hari Jumaat) berlakulah hari kiamat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Hari Jumaat adalah sebaik-baik hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya:

“Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat”. [Riwayat Muslim, no. Hadits 1411]

Selain itu juga, hari Jumaat mempunyai satu masa yang istimewa di mana pada waktu tersebut Allah SWT akan memakbul dan memustajabkan doa hambanya yang berdoa kepada-Nya. Ini disebut di dalam hadis yang sahih.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika baginda SAW menceritakan akan hari Jumaat:

Maksudnya:

“Pada hari Jumaat itu ada satu masa (waktu), tidaklah seorang hamba yang muslim itu menunaikan solat lalu dia berdoa memohon sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang dimohonkan itu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadis 883]

Berdasarkan sebahagian hadis yang dinyatakan, jelas menunjukkan bahawa hari Jumaat mempunyai kelebihannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan hari-hari yang lain.

Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here