Harimau Malaya Berjaya Lunas Dendam

0
272

 

Dendam dua tahun lalu akhirnya terbalas jua apabila skuad Harimau Malaya berjaya menumpaskan Myanmar dengan keputusan 3-0, pada aksi terakhir Kumpulan A, Piala AFF sekali gus mengesahkan tempat di peringkat separuh akhir.

Lebih manis apabila kejayaan tersebut diukir di hadapan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya yang memenuhi segenap penjuru stadium.

Tiga mata yang diraih anak buah Tan Cheng Hoe itu telah memadam luka di Yangon dua tahun lalu apabila disingkirkan lawan yang sama di peringkat kumpulan.

Malaysia yang merupakan juara 2010 menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua dengan sembilan mata di belakang pendahulu Vietnam (10 mata) yang turut melakar kemenangan 3-0 keatas Kemboja dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Menyedari hanya kemenangan sahaja mampu membawa pasukan ke separuh akhir, pemain negara mempamerkan keazaman tinggi apabila mereka mengawal permainan dengan baik sejak awal permainan dalam usaha memburu jaringan.

Penguasaan tersebut bagaimanapun masih sukar untuk memecahkan benteng pertahanan Myanmar.

Keghairahan skuad negara mencipta gerakan, Myanmar hampir membolosi gawang negara pada minit ke-16 menerusi serangan pantas yang dijana oleh Si Thu Aung yang melakukan larian solo ke arah gawang negara.

Thu Aung kemudian melakukan hantaran kepada Maung Maung Soe yang tidak dikawal pertahanan negara di dalam kawasan penalti. Namun rembatan yang dilepaskan pemain berusia 23 tahun itu berjaya dihalang Shahrul Saad untuk menyelamatkan pintu gol Malaysia.

Norshahrul Idlan Talaha akhirnya mengamatkan 80,000 penyokong Harimau Malaya apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-26.

Gol tersebut terhasil apabila percubaan akrobatik Mohamadou Sumareh terkena palang, namun Norshahrul berada tepat pada masanya untuk menolak masuk bola lantunan itu ke dalam gawang.

Itu merupakan gol keempat Norshahrul atau yang lebih dikenali Mat Yo selepas membantu Malaysia menewaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-1 sebelum ini.

Lima minit berselang, skuad negara sekali lagi mencemaskan pintu gol Myanmar menerusi tandukan Mohamad Zaquan Adha Abd Razak hasil hantaran lintang dari Syahmi Safari. Namun tandukan yang dilakukan ketua pasukan itu berjaya ditangkap kemas penjaga gol Zin Htet bagi menghalang gawangnya dari terus dibolosi.

Pintu gol negara cemas seketika apabila Myanmar hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-42, namun Farizal Marlias berjaya menafikan percubaan tersebut.

Ketika babak pertama hampir ditamatkan, Malaysia memperolehi sepakan penalti setelah Soe Moe Kyaw melakukan kekasaran dalam kawasan penalti terhadap Safawi Rasid.

Zaquan yang mengambil sepakan tersebut tidak mempunyai masalah untuk menjadikan kedudukan 2-0 sebelum menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, skuad negara terus menguasai perlawanan dan melancarkan beberapa siri serangan yang mengancam kubu Myanmar.

Namun skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke-87 untuk menjaringkan gol ketiga apabila bola yang cuba dikeluarkan pertahanan Myanmar terkena kepala Zaquan sebelum menerjah gawang.

Lawan Malaysia di peringkat separuh akhir akan ditentukan sama ada Thailand, Filipina atau Singapura yang kini merebut slot ke separuh akhir dalam Kumpulan D.

Saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik bermula 1 Disember ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here