Harimau Malaya Hadapi AFF Suzuki Tanpa ‘Jeneral’

0
586

 

Skuad akhir 23 pemain untuk kejohanan Piala Suzuki AFF 2018 yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini nyata mengejutkan peminat bola sepak tanah air.

Ia gara-gara nama tonggak tengah Pahang, Nor Azam Azih, tidak disenaraikan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Antara reaksi netizen di laman media sosial, “Azam main bagus tapi kenapa digugurkan?”, matilah, macam mana nak lawan Thailand”, “macam mana nak main, pemain tengah tak ada?”.

Sememangnya, ketiadaan Azam dirasai bukan sahaja peminat tetapi pastinya barisan pemain dan jurulatih skuad kebangsaan untuk misi akhiri kemarau lapan tahun merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF.

Ini memandangkan pemain kelahiran Maran, Pahang, berusia 23 tahun itu merupakan pemain tengah terbaik negara ketika ini dan dibuktikan sebagaimana dia cemerlang menunjangi jentera tengah skuad B-23 tahun negara dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Namun, Azam terpaksa diketepikan kerana faktor kecederaan dengan penulis dimaklumkan, dia mengalami kecederaan hamstring ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Selain Azam, turut digugurkan ialah Azrif Nasrulhaq kerana sukar merebut tempat dan Azzizan Nordin disebabkan cedera buku lali.

Berdasarkan situasi ini, saya menjangkakan skuad negara berdepan tugas sukar untuk menghadirkan tentangan dalam memburu kejuaraan kecuali Cheng Hoe bijak melakukan percaturan taktikal satu perlawanan demi satu perlawanan.

Ini kerana, daripada senarai 23 pemain itu, Cheng Hoe punyai tiga pemain tengah iaitu Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Syamer Kutty Abba, jumlah yang tidak ramai berbanding posisi lain.

Apa pun, lapan pemain berada dalam skuad Harimau Malaya pada edisi 2016 sebelum ini iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Hafizul Hakim, Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zainon, Zaquan Adha Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat.

Sepanjang 11 edisi sebelum ini, Malaysia hanya pernah sekali muncul juara pada edisi 2010 ketika Cheng Hoe menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal.

Hanya dua pemain dari skuad juara 2010 itu masih kekal dalam skuad edisi 2018 ini iaitu Khairul Fahmi dan Norshahrul Idlan yang bakal mencipta sejarah beraksi lima edisi berturut Piala Suzuki AFF.

Kredit: Stadium Astro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here