Harimau Malaya Kecundang Di Tangan Vietnam

0
521
Foto: VnExpress

 

Skuad negara gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tunduk 0-2 di tangan Vietnam pada aksi ketiga peringkat kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi sebentar tadi.

Skuad Harimau Malaya bertandang ke Hanoi dengan misi mengulangi detik cemerlang menewaskan Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua edisi 2014 untuk mara ke final menerusi agregat 5-4.

Menyedari ketajaman serangan yang dimiliki Vietnam, Tan Cheng Hoe membuat rombakan terhadap kesebelasan utama dengan menyenaraikan Syamer Kutty Abba untuk bergandingan dengan Akram Mahinan di bahagian tengah bertahan.

Cheng Hoe juga memasukkan Shahrel Fikri Md Fauzi, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid untuk menguatkan jentera serangan.

Separuh Masa Pertama

Vietnam lebih banyak bertahan dan seperti membiarkan Malaysia lebih banyak menguasai bola.

Malaysia hampir mengejutkan tuan rumah apabila pemain sayap naturalisasi Sumareh berjaya meloloskan diri di bahagian kanan namun hantaran lintangnya ke dalam kotak penalti gagal disambar rakan sepasukan.

Skuad negara berjaya mengawal permainan dengan baik pada 10 minit awal tetapi mengawal permainan sahaja tidak cukup untuk menghasilkan gol sekiranya tiada serangan berbisa.

Manakala Vietnam hanya memerlukan serangan pertama untuk menggamatkan 40,000 penyokong apabila ‘Messi Vietnam’ Nguyen Cong Phuong yang tidak dikawal berjaya menolak masuk bola menewaskan kapten Khairul fahmi Che Mat di gawang pada minit ke-12.

Selepas gol pertama tuan rumah, anak buah Cheng Hoe terus menguasai permainan dan cuba mencipta beberapa gerakan untuk memburu gol penyamaan. Namun benteng pertahanan Vietnam cukup berdisiplin untuk menghalang barisan serangan skuad negara menembusi kawasan gol mereka.

Separuh Masa Kedua

Skrip hampir sama berulang pada separuh masa kedua apabila skuad negara mendominasi permainan namun buntu untuk memecahkan benteng Vietnam.

Pada minit ke-58, pemain gantian, Safawi Rasid hampir-hampir memberikan gol penyamaan buat skuad negara namun sepakan percuma yang diambilnya berjaya ditepis keluar penjaga gol Dang Van Lam.

Berselang dua minit kemudian, situasi hampir sama seperti aksi di babak pertama selepas ketika skuad negara menlancarkan serangan, pemain Vietnam menggunakan serangan balas pantas bagi membolosi gawang skuad negara.

Penyerang Nguyen Anh Duc bijak melakukan larian dalam kotak penalti untuk melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Khairul Fahmi bagi memberikan tuan rumah gol kedua pada minit ke-60.

Pemain negara cuba untuk bangkit namun kekurangan kreativiti ketika melakukan serangan memudahkan barisan pertahanan Vietnam menggagalkan usaha pemain negara menjaringkan gol.

Keputusan 2-0 kekal berpihak kepada Vietnam.

Dengan kekalahan ini menyaksikan skuad negara kini berada di tangga ketiga walaupun berkongsi enam mata bersama-sama Myanmar (tangga pertama) dan Vietnam (kedua).

Malaysia yang juga juara edisi 2010 kini hanya mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kemboja serta Laos dan terpaksa menunggu perlawanan terakhir dengan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November untuk mengesahkan slot ke pusingan seterusnya.

Kredit Foto: vnExpress

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here