Harimau Malaya Mampu ‘Terkam’ Gajah Perang

1
215

 

Biarpun diatas kertas Thailand menjadi pasukan pilihan, skuad Harimau Malaya tetap memiliki kemampuan mencipta kejutan apabila berdepan skuad Gajah Perang itu dalam aksi separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki 2018, malam ini.

Thailand melangkah ke separuh akhir setelah muncul juara Kumpulan B dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan. Rekod tersebut sudah cukup membuktikan mereka sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan.

Namun pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzil percaya anak buah Tan Cheng Hoe memiliki kekuatan untuk mencalar rekod bersih skuad Gajah Perang itu.

Bagi bekas pemain Perak itu lagi, tidak mustahil untuk Malaysia melakar kemenangan pada malam ini sekiranya mengambil kira kepada prestasi cemerlang yang dipamerkan Malaysia ketika membenam Myanmar 3-0 baru-baru ini.

“Pasti ada sedikit kesukaran berdepan Thailand kerana mereka adalah pasukan pilihan. Thailand memiliki kualiti pemain yang baik dan ia dibuktikan apabila kita melihat prestasi terkini mereka yang berjaya memenangi semua perlawanan dengan selesa dalam peringkat kumpulan.

“Tetapi Malaysia mampu cipta kejutan. Prestasi pasukan semakin baik dan kemenangan ke atas Myanmar memberi keyakinan dan motivasi kepada pasukan. Kita juga diberi kelebihan bermain di laman sendiri dahulu jadi gunakan ia sebaik mungkin untuk bawa bekalan selesa ke Bangkok,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan malam ini, Abu Bakar mengatakan kekebalan benteng pertahanan adalah elemen utama yang perlu dititikberatkan untuk mengekang pergerakan pemain Thailand yang terkenal dengan corak permainan pantas daripada merobek gawang negara.

Jelasnya lagi, barisan pertahanan negara perlu mengelak melakukan kesilapan mudah ketika bertahan dan berhati-hati dalam menyerap gerakan serangan lawan.

“Kita tidak boleh berikan mereka ruang walaupun sedikit kerana itu akan dimanfaatkan sepenuhnya Thailand untuk menghukum kita. Kita sedia maklum kekuatan Thailand adalah ketika mereka menyerang jadi pertahanan negara perlu kekal fokus sepanjang perlawanan,” tambah beliau.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand adalah pada final edisi 2014 yang menyaksikan Malaysia menang 3-2, namun gagal merangkul kejuaraan apabila keputusan agregat 4-3 memihak pasukan Thailand.

Dalam 10 perlawanan terdahulu, Malaysia hanya menang dua, seri dua dan tewas enam kali.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here