Harimau Malaya Sedia Jadikan Kemboja ‘Mangsa Pertama’

0
383
Foto: FAM

 

Harimau Malaya akan membuka kempen Kumpulan A Piala AFF menentang Kemboja di Stadium Nasional, Phnom Penh malam ini.

Kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Razak mengatakan semua pemain ketika ini berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk menjadikan skuad bimbingan Felix Agustin Gonzales Damas sebagai ‘mangsa pertama’.

“Saya percaya pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan apatah lagi bermain dengan Kemboja yang bukan calang-calang pasukan.

“Tidak banyak yang saya lakukan untuk beri semangat kepada pemain tapi saya yakin rakan sepasukan tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, Zaquan Adha mengakui bukan satu tugas mudah untuk dia dan rakan sepasukan yang lain untuk meraih kemenangan.

Pemain sayap Kuala Lumpur itu yakin Kemboja pasti turun dengan misi membalas dendam susulan kekalahan mereka ketika aksi persahabatan tempoh hari.

“Sebelum ini kita telah menentang Kemboja dan pengalaman itu penting buat pemain. Tetapi saya yakin perlawanan kali ini sama sekali berbeza kerana melibatkan mata untuk ke peringkat seterusnya

“Apa yang boleh saya katakan, kita perlu beri lebih daripada yang kita mampu untuk menang aksi penting ini,” katanya.

Untuk edisi kali ini, Malaysia turun dengan misi memburu kejuaraan selepas kali terakhir memenanginya pada 2010.

Harimau Malaya layak ke pentas final pada edisi 2014 tetapi tumpas kepada Thailand menerusi agregat 4-3.

Selepas menentang Kemboja, Harimau Malaya akan bertemu Laos (12 November), Vietnam (16 November) sebelum mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here