Inter Milan Gantung Nainggolan

0
280

 

Pemain tengah Inter Milan, Radja Nainggolan telah digantung untuk bermain oleh pasukannya ekoran masalah disiplin.

“FC Internazionale Milano mengesahkan Radja Nainggolan digantung sementara daripada aktiviti bola sepak kerana masalah disiplin,” kata kelab itu dalam satu kenyataan, tanpa memberi keterangan lebih lanjut.

Terdapat laporan dari media Itali mengatakan punca kes penggantungan itu kerana Nainggolan sering datang lewat ketika sesi latihan pasukan.

Pemain berusia 30 tahun itu dilabelkan sebagai seorang yang agak keras kepala, didatangkan dari Roma pada musim panas lalu dengan nilai perpindahan 38 juta euro (RM180.7 juta) bersama Nicolo Zaniolo namun gagal memberi impak seperti yang diharapkan Inter.

Dia terlepas dua perlawanan liga bersama Inter musim ini kerana kecederaan, namun meledak jaringan pada penampilan pertamanya ketika menang 3-0 ke atas Bologna.

Dia kemudiannya mengalami kecederaan ketika Inter menewaskan AC Milan 1-0. Walaupun pulih dengan cepat, dia sekali lagi mengalami kecederaan ketika tewas dalam saingan Liga Juara-Juara kepada Tottenham Hotspur sehingga terpaksa dikeluarkan sebelum separuh masa pertama tamat.

Semasa bermain di Roma, Januari lalu, Nainggolan pernah digantung sementara dari bermain dan didenda selepas memuat naik video di Instagram yang menunjukkan dia sedang minum minuman keras dan merokok di parti sambutan tahun baru.

Selepas tamat tempoh penggantungan itu, dia kembali membantu Roma mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara namun diketepikan daripada skuad Piala Dunia Belgium oleh jurulatih Roberto Martinez.

Selepas diketepikan dari skuad negara, Nainggolan mengambil keputusan untuk menamatkan kerjayanya di peringkat antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here