Izuan: Saya Bukan ‘Penumpang’ Di TFC

0
381

 

Penyerang baharu skuad Terengganu FC (TFC), Khairul Izuan Rosli bertekad mahu merebut slot kesebelasan utama pasukan bagi memastikan dia tidak dilabelkan sebagai ‘penumpang’ dalam skuad tersebut.

Walaupun sedar ia bukan tugas mudah, namun bekas pemain Negeri Sembilan itu mahu membalas kepercayaan yang telah diberikan Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim.

“Setiap pemain pasti mengimpikan untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan termasuk saya, terutama di bawah kendalian Irfan Bakti.

“Bukan mudah untuk berada dalam skuad utama, tetapi itulah cabarannya dan saya akan berusaha lebih gigih untuk bersaing,” kata Izuan kepada Sukan NSTP.

Dua pasukan Liga Super iaitu PKNS dan FELDA United dikatakan berminat untuk mendapatkan Izuan, namun pemain kelahiran Kota Bharu itu memilih untuk TFC sebagai destinasinya bagi musim 2019.

“Ia bukan soal berkaitan gaji, tetapi saya lihat pemain skuad ini mempunyai semangat juang tinggi sebagai pasukan juara, seperti yang dipamerkan ketika muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

“Selain itu, keinginan untuk menimba ilmu dengan jurulatih berpengalaman (Irfan Bakti), juga menyebabkan saya menolak tawaran pasukan lain.

“Saya harap keputusan ini tepat dalam misi membantu TFC mencapai sasaran merangkul sekurang-kurangnya satu trofi musim depan,” kata Izuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here