Jangan Bazir Peluang Dengan Sepakan ‘Melambung’ Lagi

1
277

 

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali percaya keputusan seri 0-0 yang diraih Malaysia dalam perlawanan dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam sebenarnya dapat dielakkan sekiranya pemain negara dapat memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki.

Dalam perlawanan yang cukup sengit itu, Harimau Malaya berjaya menguasai perlawanan dan dihidangkan dengan deretan peluang tetapi semua percubaan melambung tinggi sekaligus menghampakan 87,000 penyokong sendiri.

“Terus terang, bagi saya perlawanan malam tadi adalah yang terbaik dan cantik daripada pasukan bola sepak kita kalau dibandingkan dengan empat atau lima tahun lalu.

“Tetapi kelemahan kita adalah penyudah yang tidak tepat walaupun mempunyai terlalu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Saya harap Cheng Hoe selaku jurulatih berpengalaman akan perbaiki segera kelemahan itu kerana kita sedar apabila bermain di Bangkok bukan mudah dan apabila dapat peluang pemain kena gunakan dengan sebaiknya,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Skuad Harimau Malaya perlu menajamkan sentuhan penyudah apabila bertemu Thailand di separuh akhir kedua sekiranya bercita-cita ingin melangkah ke final.

Meskipun bakal berdepan ujian sukar apabila bertandang ke Stadium Rajamangala, Khalid Ali tetap percaya dan yakin skuad negara mampu mengatasi halangan tersebut.

“Lawan Thailand di tempat mereka bukan senang, apatah lagi Indonesia dan Singapura (dalam Kumpulan B) turut menjadi mangsa apabila bermain di sana.

“Begitupun, saya optimis kita tetap ada kualiti untuk menang dengan syarat bermain secara serangan balas dan penyerang kena guna betul-betul peluang yang datang dan jangan bazirkan lagi,” katanya.

Skuad negara dalam misi mencari kejuaraan kali kedua selepas menjuarai trofi berkenaan pada 2010 yang ketika itu Cheng Hoe bertindak selaku penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here