JDT Jadi Pasukan Pertama Dari Malaysia Sertai Liga Juara-Juara Asia

0
284

 

Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu bola sepak tanah air apabila kelab itu sah akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun depan.

JDT bakal bersaing di peringkat kumpulan Asia Timur bersama-sama 15 kelab elit yang lain sekaligus menjadikan penyertaan pertama pasukan dari Malaysia pada kejohanan peringkat tertinggi kelab Asia.

Menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi skuad Harimau Selatan itu, Johor Southern Tigers hari ini memberitahu lima kelab sudah mengesahkan tempat ke ACL iaitu JDT, Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan), Sydney FC (Australia), Melbourne Victory (Australia) dan Buriram United (Thailand).

JDT yang merupakan juara Piala AFC 2015 dan juara Liga Super lima kali berturut-turut menyatakan kesediaan untuk meyahut cabaran beraksi di pentas ACL.

“Tujuh lagi slot automatik akan diisi oleh kelab dari Korea Selatan, Jepun dan China manakala empat lagi tempat bakal diisi oleh pasukan yang bersaing di peringkat ‘play-off’.

“JDT pastinya akan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin bagi menghadapi cabaran yang hebat ini,” jelas kenyataan kelab Harimau Selatan itu.

JDT nampaknya cukup bersemangat untuk bersaing dengan kelab-kelab elit yang lain dan ianya terserlah apabila mereka telah mengikat kontrak pemain kelahiran Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento.

Nascimento pernah menyertai kelab ternama iaitu kelab Serie A, SS Lazio sebelum dipinjamkan ke kelab Spartak Moscow, Russia dan Legia Warsaw, Poland. Pemain ini pastinya menjadi aset penting dan pengalamannya turut ditagih JDT dalam mengharungi saingan ACL dan Liga Malaysia musim depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here