Jurulatih Myanmar: Malaysia Bagus Dalam Penguasaan Bola Tapi Tidak Tahu Cipta Peluang

0
692

 

Pasukan Myanmar akan berdepan Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala AFF di Stadium nasional Bukit Jalil, esok.

Ketika ini, Myanmar menduduki tangga teratas kumpulan dengan berkongsi tujuh mata dengan Vietnam tetapi mereka memiliki kelebihan dari segi perbezaan jaringan dan hanya memiliki kelebihan satu mata berbanding Malaysia di tempat ketiga.

Skuad kendalian Antoine Hey hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat di peringkat separuh akhir dengan Vietnam dilihat hampir pasti melengkapkan senarai empat pasukan terakhir apabila dijangka tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Kemboja di laman sendiri, esok.

Hey juga merasakan dengan polisi penggiliran pemain yang digunakannya sebelum ini akan membuahkan hasil dalam perlawanan dengan Malaysia.

“Kami memiliki skuad terbaik kerana tidak ada pemain yang digantung perlawanan atau cedera.

“Motivasi kami amat tinggi dan yakin untuk mendapatkan tiga mata.

“Pemain saya tidak sabar untuk berdepan Malaysia dan penyokong mereka di sini. Ini adalah perlawanan keempat kami dalam tempoh 12 hari, tetapi ia bukannya satu masalah kerana saya menggilirkan pemain dalam kejohanan ini.

“Saya merehatkan dua pemain utama ketika seri 0-0 dengan Vietnam. Saya tidak menurunkan lima pemain utama ketika menang ke atas Laos (3-1) dan Kemboja (4-1), jadi saya mahu pemain yang betul-betul cergas bagi perlawanan ini.

“Kami akan mengikut perancangan yang diatur dan melakukan yang terbaik. Saya juga mempunyai pemain yang bagus di bangku simpanan sebagai pilihan jika saya membuat keputusan menukar taktik ketika perlawanan,” kata Hey.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan Myanmar ialah dalam aksi persahabatan tujuh tahun lalu di Kota Bharu, Kelantan dengan keputusan 2-0.

Sejak itu, Malaysia tewas kepada Myanmar sebanyak dua kali dengan keputusan 1-0 dan seri tanpa jaringan sebanyak dua kali.

Hey yang dilantik pada Mei lalu mengatakan beliau sudah menganalisa perlawanan Malaysia sebelum ini dan telah mengenalpasti kelemahan pasukan tuan rumah.

“Malaysia bagus dalam mengekalkan penguasaan bola dalam tempoh lama. Bagaimanapun mereka tidak tahu bagaimana mahu mencipta peluang menjaringkan gol.

“Mereka bergelut menentang Kemboja dan Laos dan mereka dihukum oleh Vietnam meskipun menguasai permainan,” tambah Hey.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here