Jurulatih Myanmar: Pemain Saya ‘Gentar’ Dengan Penyokong Malaysia

0
600

 

Jurulatih Myanmar, Antoine Hey tetap menganggap aksi berdepan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi sebagai aksi terbaik pemainnya walaupun terpaksa akur dengan kekalahan 0-3.

Kekalahan itu menyaksikan Myanmar tersingkir daripada saingan Piala AFF, sekali gus gagal mengulangi pencapaian kejohanan sama pada edisi 2016.

Hey menjelaskan, sorakan padu seluruh penyokong Harimau Malaya yang memenuhi segenap ruang stadium juga mempengaruhi persembahan anak buahnya.

“Tahniah dan selamat berjaya buat Malaysia yang mara ke separuh akhir. Ini aksi terbaik kami dan kami juga mendapat beberapa peluang untuk mencipta jaringan menerusi serangan balas.

“Namun kami dibolosi dengan jaringan Malaysia dan selepas itu kami juga cuba bangkit terutama di separuh masa kedua,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

“Kami dibarisi pemain muda dan mereka sudah melakukan yang terbaik. Tapi dengan atmosfera penyokong yang begitu ramai sedikit sebanyak mengganggu persembahan kami,” katanya.

Myanmar yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke peringkat seterusnya terpaksa akur apabila impian mereka dileburkan dengan jaringan daripada Norshahrul Idlan Talaha dan dua gol Zaquan Adha Abd Radzak.

Malaysia layak ke separuh akhir selepas muncul naib juara kumpulan, di belakang Vietnam yang menumpaskan Kemboja dalam aksi terakhir yang diadakan serentak, malam tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here