Kecundang Di Tanah Air Sendiri Setelah Ratusan Juta Dilabur

1
3154

 

Impian Malaysia melakar sejarah layak ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) 2019 lebur apabila tewas pada aksi terakhir Kumpulan A Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis.

Tewas kepada Jepun telah menyebabkan Malaysia tersingkir daripada saingan sekaligus gagal mara ke pusingan suku akhir selepas sekadar menamatkan saingan kumpulan di kedudukan tercorot dengan mengutip tiga mata hasil satu kemenangan ke atas Tajikistan dan dua kekalahan.

Meskipun sekadar memerlukan keputusan seri untuk mara ke suku akhir susulan kejutan 2-1 yang dilakar Tajikistan ke atas Thailand, namun anak buah Teong Kim tidak berjaya mencari satu mata yang diperlukan.

Beraksi di hadapan 8,000 penyokong, Malaysia yang dibarisi pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDF) bermula baik apabila berjaya menguji kubu pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan menarik.

Malaysia memperolehi dua peluang untuk mencipta jaringan menerusi percubaan Muhammad Alif Mutalib pada minit ke-19 diikuti pada minit ke-26 menerusi Harith Naem, namun gagal menewaskan penjaga gol Jepun, Taiki Yamada.

Bagaimanapun, kesilapan pertahanan menghantui Malaysia apabila kegagalan mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti dihukum Shoji Toyama yang melepaskan satu rembatan kencang sekaligus menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk gol pembukaan pada minit ke-36.

Belum sempat untuk memperkemaskan permainan, pintul gol Malaysia sekali lagi hampir dibolosi buat kali kedua namun tindakan cemerlang Sikh berjaya menafikan hasrat Jepun untuk melebarkan jurang dua minit kemudian.

Bersambung babak kedua, Malaysia tampak hilang punca apabila tampil dengan persembahan jauh berbeza separuh masa pertama sekali gus memberikan kesempatan kepada Jepun untuk menguasai permainan dan melancarkan serangan.

Jepun akhirnya berjaya menggandakan jaringan hasil sepakan jarak jauh Hikaru Naruoka yang terkena palang gol sebelum melantun ke bawah dan terkena kaki penjaga gol Malaysia sekaligus menyebabkan bola masuk ke dalam gawang. Gol tersebut telah mengesahkan kemenangan skuad muda ‘Samurai Biru’, pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Apa yang menyedihkan, Tajikistan yang dibelasah Malaysia 6-2 pada aksi pertama pula yang mengiringi Jepun ke suku akhir selepas berjaya menewaskan Thailand 2-1 sekaligus membolehkan mereka mengutip empat mata.

Satu Kegagalan?

“ini bukan kegagalan!”, itu reaksi ringkas jurulatih Malaysia B-16 , Lim Teong Kim setelah anak buahnya gagal melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 di Peru.

Namun jawapan Teong Kim timbul pertikaian kerana misi utama program NFDF adalah melayakkan diri ke Piala Dunia setelah ratusan juta ringgit sudah dibelanjakan untuk program berkenaan sejak empat tahun lalu.

Bagi Teong Kim, bola sepak sememangnya memerlukan pelaburan dalam usaha membangunkan pemain dari peringkat akar umbi. Baginya lagi, program NFDF tetap berada dalam landasan yang betul untuk masa depan bola sepak negara.

“Saya menilai bukan setakat keputusan tetapi persembahan yang ditunjukkan pemain. Adakah anda pernah lihat Malaysia menunjukkan aksi seperti pemain B-16?

“Ini bukan kegagalan sebaliknya percubaan pertama kita. Jadi, kita perlu meneruskan kerja ini sehingga kita berjaya dan bukannya setakat satu percubaan dan kemudiannya kita berhenti.

“Sasaran ke Piala Dunia B-17 hanyalah matlamat jangka pendek. Berdasarkan keputusan, saya akui itu bukanlah keputusan yang baik tetapi ini adalah pembangunan pemain, jadi nilailah mereka berdasarkan persembahan.

“‘Matlamat jangka panjang adalah melahirkan pemain yang berkualiti untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang. Kita perlu terus membangunkan pemain dan tidak boleh berhenti setakat di sini,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan dengan Jepun.

Mengulas lanjut mengenai kekalahan keatas Jepun, Teong Kim menyifatkan anak buahnya sudah mempamerkan aksi yang baik sekalipun keputusan tidak berpihak kepada mereka.

“Mereka tetap bersemangat untuk mencari gol selepas dibolosi hasil kesilapan mudah dan tidak berputus asa. Saya bangga dengan apa yang ditunjukkan pemain saya.

“Jepun dibarisi pemain yang lebih baik secara teknikal dan taktikal namun pemain saya dapat memberikan cabaran yang sengit kepada lawan,” katanya.

1 COMMENT

  1. Ratusan juta bukan untuk skuad U16 2018… Ratusan juta itu untuk jangka masa panjang. Tengok dengan lebih luas… ini program jangka masa panjang untuk menghasilkan seberapa ramai pemain yang mempunyai basic dan skill bolasepak yang baik…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here