Kedah Terkejut Dengan Cadangan Mengenai Pampasan Akyar Yang Dianggap Tidak Berbaloi

0
1606

 

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terkejut dengan draf cadangan pampasan yang bakal diterima sekiranya mereka bersetuju melepaskan Akhyar Rashid.

Setiausahanya, Mohd Asmirul Anuar Aris mengatakan nilai tersebut jelas tidak setimpal dengan usaha KFA yang telah mengilap bakat pemain muda berkenaan sehingga dikenali dan menjadi rebutan pasukan gergasi di tanah air dan juga beberapa pasukan luar negara.

Oleh itu, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membuat keputusan profesional bagi memastikan hak pasukan yang berusaha keras melahirkan pemain muda berbakat tidak dinafikan.

“Saya ada melihat draf tersebut pagi tadi (semalam) dan mengakui nilainya begitu kecil jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh KFA terhadap pemain tersebut sejak 2014 dan masih mempunyai kontrak setahun.

“Kami tidak puas hati di mana jumlah pampasan telah ditentukan dan bukannya dari KFA. Mungkin ada penasihat di belakang tapi itu kami tidak kisah. Sepatutnya Kedah yang buat keputusan kerana kami adalah majikan pemain,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Amirul lagi, FAM yang bertindak sebagai pengantara mengenai isu itu ada memanggil pihaknya untuk berbincang dan mereka kini menunggu kata putus badan induk itu.

Walau bagaimanapun, Amirul enggan mendedahkan jumlah sebenar cadangan pampasan itu dan dalam masa yang sama berharap mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar terus datang berunding dengan pihaknya.

“Kalau betul dia (Akhyar) nak keluar dari pasukan Kedah, sepatutnya pasukan yang berminat dengannya datang terus untuk berbincang berhubung pampasan kontrak pemain tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, Akhyar meminta FAM menjadi pengantara untuk memuktamadkan keputusan akhir mengenai hasratnya yang mahu meninggalkan Kedah.

KFA mempunyai 10 hari bermula 22 November lalu untuk menyelesaikan rundingan selepas pemain berkenaan memohon untuk keluar dari pasukan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here