‘Kehilangan’ Teong Kim Pada Sesi Dialog NFDP Menimbulkan Persoalan

0
358

 

‘Kehilangan’ Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim pada sesi dialog Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) di Bukit Jalil, petang ini menimbulkan persoalan.

Ini kerana program yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu membabitkan penyertaan semua individu yang terbabit dalam NFDP termasuklah pegawai dan jurulatih dari seluruh negara.

Malah, jurulatih dari Sabah dan Sarawak sanggup hadir ke sesi dialog berkenaan ketika Teong Kim yang dikatakan masih berada di sekitar Lembah Klang gagal berbuat demikian.

Mungkin bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu memiliki alasan tersendiri untuk ‘ponteng’ pada sesi dialog itu meskipun pertemuannya dengan Syed Saddiq pada sebelah pagi berjalan lancar.

Sementara itu, Syed Saddiq yang ditemui selepas tamat program mengakui sudah mengadakan pertemuan ‘empat mata’ dengan bekas jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara berkenaan pada sebelah pagi dan dipercayai isu gaji RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai yang diterimanya turut dibangkitkan.

Tidak menafikan perbincangan mengenai perkara itu, namun Syed Saddiq enggan mengulas lanjut mengenai hasil pertemuan berkenaan khususnya membabitkan penilaian semula ke atas gaji yang diterimanya.

“Itu kita tunggu dulu. Apa yang paling mustahak adalah pertemuan dengan semua pihak kerana kita memerlukan segala maklumat dan pandangan.

“Kita mahu terus melangkah ke hadapan dan saya perlu berlaku adil dengan mendengar pendapat serta pandangan daripada semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad.

“Apapun, secara ringkasnya, pertemuan dengan Teong Kim berlangsung dengan sangat positif,” kata Syed Saddiq.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here