Kejuaraan Piala Malaysia 2018 Milik Perak Tidak Sah?

0
1605

 

Persoalan tercetus adakah kejuaraan Piala Malaysia 2018 milik Perak Sabtu lalu sah ataupun sebaliknya. Ini kerana penjaga gol Perak Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dikatakan melakukan kesalahan apabila tidak berada di atas garisan gol sebelum bola disepak oleh pemain Terengganu FC pada penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam.

Menerusi laporan Berita Harian, bekas pengadil berpengalaman negara yang enggan namanya didedahkan mengakui bahawa pengadil perlawanan Suresh Jayaranam telah melakukan kesilapan apabila membenarkan Hafizul Hakim tidak berada di atas garisan gol.

“Mengikut peraturan, Hafizul Hakim perlu berada di atas garisan gol sebelum bola bergerak atau disepak oleh pemain Terengganu.

“Jika dia tidak berada di atas garisan gol dan bergerak lebih awal, pengadil seharusnya mengarahkan sepakan semula dibuat dan melayangkan kad kuning kepada penjaga gol itu. Dan jika dua kali dia melakukan kesalahan sama, dia patut dilayangkan kad merah.

Kedudukan penjaga gol perak, Hafizul Hakim ketika penalti diambil oleh pemain Terengganu FC, Igor Zonjic pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam

“Tapi ternyata pengadil perlawanan pada malam itu gagal melaksanakan peraturan yang ditetapkan dan ini memberikan keuntungan kepada Perak dan memberikan kerugian kepada Terengganu.

“Apatah lagi dua gol sepakan penalti yang gagal disempurnakan pemain Terengganu itu adalah ketika Hafizul Hakim tidak berada di atas garisan gol. Bila dia tidak berada di atas garisan gol, ini akan memberi kelebihan kepadanya dari segi jarak dan masa untuk bertindak balas kepada bola lebih lama,” katanya kepada NSTP.

Dalam perlawanan final yang penuh dramatik dan kontroversi itu, Perak berjaya bangkit daripada 3 kali ketinggalan untuk mengikat Terengganu 3-3 sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Skuad The Bos Gaurus menang 4-1 dalam penentuan sepakan penalti bagi menamatkan penantian 18 tahun menjulang trofi berprestij itu.

Insiden sebegini bukannya pertama kali berlaku, sebelum ini ada beberapa insiden yang hampir sama terjadi di pentas bola sepak dunia.

Antaranya adalah penjaga gol Liverpool, Jerzy Dudek ketika final Liga Juara-Juara 2005 menentang AC Milan dan penjaga gol Iran, Ali Beiranvand dalam aksi Piala Dunia 2018 Kumpulan B menentang Portugal.

“Jangan bandingkan dengan perlawanan lain, pengadil perlu objektif. Pengadil perlu tahu apa yang sudah ditetapkan dalam peraturan. Peraturan ini adalah untuk pengadil laksanakan,” kata bekas pengadil itu yang pernah mengadili beberapa perlawanan akhir Liga Malaysia.

Namun beliau turut bersetuju yang Suresh melakukan kesilapan besar apabila membatalkan gol pemain import Perak, Leandro dos Santos pada minit ke-31 kerana didakwa mengasari penjaga gol.

“Pemain Perak itu tidak melakukan kesalahan, gol seharusnya diberikan kepada Perak, dan jika gol itu dibenarkan mungkin perlawanan tidak perlu ditentukan menerusi sepakan penalti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here